- Iklan -
Berita

IPEF sebagai platform baik tamatkan larangan eksport

Menteri Miti Mohamed Azmin Ali berkata inisiatif yang dianggotai 14 negara termasuk Malaysia itu boleh memainkan peranan dalam menghubungkan negara maju dan negara membangun.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Perdagangan AS Gina Raimondo bersalaman dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali selepas beliau berucap pada sesi pertemuan dengan pentadbiran tertinggi kementerian negara-negara anggota IPEF di Los Angeles hari ini.
Setiausaha Perdagangan AS Gina Raimondo bersalaman dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali selepas beliau berucap pada sesi pertemuan dengan pentadbiran tertinggi kementerian negara-negara anggota IPEF di Los Angeles hari ini.

Malaysia mengalu-alukan 14 anggota Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) sebagai platform membuka penglibatan bersama Amerika Syarikat (AS) dalam mencari jalan untuk menangani halangan perdagangan, termasuk isu perintah pelepasan tahan (WRO) yang dikenakan pihak berkuasa AS terhadap eksport Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali berkata IPEF menawarkan Malaysia satu platform bermakna melibatkan AS dalam isu tersebut.

Azmin berkata beliau membangkitkan perkara itu kepada Setiausaha Perdagangan AS Gina Raimondo semasa lawatannya ke Washington pada Mei lalu.

"Pertukaran maklumat itu perlu di mana penghargaan Washington diperlukan setelah apa yang kami laksanakan di negara dalam memastikan pematuhan syarat-syarat mengenai tenaga buruh. Pada masa lalu, kita tidak mempunyai saluran komunikasi begini. Kini IPEF boleh memudahkannya," kata Azmin kepada jurnal perdagangan Inside US Trade.

Beliau kini dalam siri lawatan menghadiri pertemuan bersama menteri kanan dalam pentadbiran tertinggi mengenai IPEF di Los Angeles.

Ketika ini, pihak berkuasa AS mengeluarkan enam WRO aktif terhadap syarikat berkaitan kerajaan Malaysia susulan dakwaan mengamalkan buruh paksa.

WRO adalah perintah penguatkuasaan larangan import produk hasil daripada amalan buruh paksa.

Azmin berkata IPEF yang ditubuhkan 14 negara termasuk Malaysia, boleh memainkan peranan dalam membantu menjalin hubungan rapat antara negara maju dan membangun.

Beliau berkata ia termasuk ekonomi yang lebih maju membantu negara membangun dalam memenuhi beberapa komitmen IPEF.

“Kami memerlukan ekonomi besar seperti Amerika Syarikat... untuk bekerjasama secara rapat dengan ekonomi yang sedang pesat membangun.

"Kami komited untuk mematuhi peraturan antarabangsa yang ditetapkan, namun pada masa yang sama ia perlu memberi kami sedikit ruang untuk melaksanakan peralihan,” kata Azmin.

IPEF yang diilhamkan oleh AS ialah satu inisiatif ekonomi di mana Malaysia menjadi salah satu daripada 14 belas anggota pengasasnya.

Inisiatif antarabangsa yang dilancarkan oleh Presiden Joe Biden pada Mei lalu di Washington itu disifatkan sebagai penglibatan ekonomi paling penting yang pernah dilakukan AS bersama negara-negara di rantau Asia-Pasifik.

Bentuk agenda IPEF ketika ini berdasarkan empat tonggak perdagangan adil dan berdaya tahan; ketahanan rantaian bekalan; infrastruktur, tenaga bersih, dan penyahkarbonan; cukai dan anti-rasuah.

Pemerhati berkata inisiatif itu adalah bagi mengimbangi kuasa China susulan pembentukan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang diterajui oleh Beijing, namun penyertaan India menyebabkan IPEF jauh mengatasi RCEP dari segi saiz pasaran dan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Dalam pada itu, Azmin turut menyentuh jangkaan AS dalam melihat hasil yang dibuahkan daripada inisiatif IPEF pada tahun yang akan datang.

Katanya, jangkaan sedemikian mungkin terlalu bercita-cita tinggi, mencadangkan negara-negara anggota boleh memulakan rundingan mengenai ekonomi digital.

"Pandemik memajukan pendigitalan, e-dagang dan kami mahu melihat lebih banyak pelaburan dalam ekonomi digital bagi mewujudkan pekerjaan dan juga pertumbuhan di rantau ini.

"Kami ingin melihat sama ada kita boleh mencapai matlamat ini lebih awal daripada tarikh yang disasarkan, namun usaha ini memerlukan kerja keras dan tumpuan oleh pegawai dan pemimpin-pemimpin kita,” kata Azmin.