- Iklan -
Berita

Najib lantik Nik Faisal sebagai pemegang mandat 5 akaun peribadinya, kata saksi

Pengurus bank R Uma Devi berkata pelantikan itu dibuat menerusi surat kepada pengurus cawangan bank di Kuala Lumpur.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Najib Razak melantik bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat bagi lima akaun AmIslamic Bank miliknya.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, berkata bekas Perdana Menteri itu melantik Nik Faisal sebagai pemegang mandat bagi akaun simpanan AmIslamic berakhir nombor 694 dan empat akaun semasa iaitu AmIslamic (481), AmPrivate Banking-1MY (880), AmPrivate Banking-Y1MY (898) serta AmPrivate Banking-MY (906).

Beliau berkata pelantikan Nik Faisal sebagai pemegang mandat bagi akaun AmIslamic (694 dan 481) dibuat menerusi surat kepada Pengurus Cawangan AmIslamic Bank Berhad Jalan Raja Chulan bertarikh 10 Mac 2011 manakala tiga lagi akaun melalui surat bertarikh 26 Ogos 2013.

Merujuk kepada surat Najib bertarikh 10 Mac 2011, saksi itu berkata Najib membenarkan Nik Faisal membuat pertanyaan mengenai status, butiran akaun termasuk baki serta mengesahkan cek bernilai melebihi RM250,000.

“Ini bermaksud pihak bank perlu mendapatkan pengesahan daripada Nik Faisal untuk meneruskan transaksi bagi mana-mana cek yang dikemukakan daripada akaun terbabit yang berjumlah lebih daripada RM250,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Najwa Bistamam dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata surat bertarikh 26 Ogos 2013 mengesahkan Najib membenarkan Nik Faisal memberikan apa-apa arahan bertulis kepada pihak bank untuk mengeluarkan draf bank atas nama AmPrivate Banking-1MY, AmPrivate Banking-Y1MY dan AmPrivate Banking-MY serta memberi arahan kepada Ambank Group Treasury bagi tujuan deposit perbendaharaan.

“Surat itu juga mengesahkan bahawa Najib bertanggungjawab untuk transaksi-transaksi tersebut seolah-olah ia dikeluarkan oleh beliau sendiri,” katanya sambil menambah ketiga-tiga akaun itu telah dibuka di AmIslamic Bank Berhad Cawangan Jalan Raja Chulan pada 31 Julai 2013 dan ditutup pada 9 Mac 2015.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.