- Iklan -
Berita

Hakim tarik diri dengar rayuan saman bekas pengerusi Tabung Haji terhadap Guan Eng

Hakim Vazeer Alam beliau mempunyai kaitan dengan pihak-pihak terbabit semasa dalam bidang guaman.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama

Hakim Mahkamah Rayuan Vazeer Alam Mydin Meera menarik diri daripada mendengar rayuan Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak samannya terhadap Lim Guan Eng.

Saman itu berkaitan pembinaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Hakim Vazeer Alam, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata beliau memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana beliau mempunyai kaitan dengan pihak-pihak terbabit semasa beliau dalam bidang guaman.

"Oleh itu, kami menangguhkan perbicaraan hari ini ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian oleh pendaftar," kata hakim itu pada permulaan prosiding yang dijalankan secara maya.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Hadhariah Syed Ismail dan Mariana Yahya.

Hari ini, mahkamah dijadual mendengar rayuan ahli Parlimen Baling itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020, yang menolak samannya terhadap bekas ketua Menteri Pulau Pinang itu berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Peguam Porres Royan mewakili Azeez manakala Lim diwakili N Mureli pada prosiding hari ini.

Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018 yang mendakwa Lim, bekas menteri kewangan, telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Februari 2018 dan dalam satu majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut itu.

Azeez mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan yang meluas dan diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik serta akhbar-akhbar tempatan.

Beliau memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan-kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan.