- Iklan -
Berita

Saingan ‘amat sengit’ jika KJ bertanding di Seremban

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata beliau tidak gentar menghadapi mana-mana calon pihak lawan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook. Gambar: Bernama

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke  hari ini meramalkan persaingan merebut kerusi Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang bakal menjadi sengit sekiranya Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bertanding di kerusi itu.

Dalam hantaran Facebooknya, Loke berkata Khairy merupakan seorang ahli politik yang berkaliber, dan menjadi lawan yang kuat di mana sahaja beliau bertanding.

Beliau menambah, ia akan menjadi salah satu "kerusi yang paling panas" dalam PRU15 jika Khairy bertanding.

Semalam, Khairy mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimennya, memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan.

Beliau kemudiannya dijemput oleh Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin untuk bertanding di Parlimen dikuasai DAP itu.

"Saya amat berharap serta mengalu-alukan Khairy bertanding di Parlimen Seremban memandangkan bilangan pengundi muda dan Melayu di sini yang semakin bertambah,” kata Zool sambil menambah beliau berharap pucuk pimpinan Umno memberi laluan kepada Khairy.

“Biarlah Khairy bertanding di Parlimen Seremban yang sebelum ini kerusi itu milik tradisi MCA.”

Dalam pada itu, Loke yang merupakan penyandang kerusi itu berkata, beliau tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran dalam politik.

“Saya tetap bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Seremban dalam PRU15 walaupun berhadapan dengan KJ atau sesiapa pun yang dicalonkan oleh pihak lawan,” katanya.

“Biarlah rakyat dan pengundi di Parlimen Seremban menilai dan memutuskan sama ada saya terus layak mewakili kepentingan dan suara mereka di Dewan Rakyat.”

Like mengekalkan kerusi Seremban pada PRU 2018 dalam pertembungan tiga penjuru.

Beliau mendapat 55,503 undi, menang dengan majoriti 30,694 undi.

Kemudian, Loke dipilih sebagai menteri Kabinet di bawah kerajaan Pakatan Harapan, memegang portfolio pengangkutan.