- Iklan -
Berita

Bukan kerja kami gembira atas kesedihan orang lain, kata Sri Ram berhubung sabitan Rosmah

Ketua pendakwaan dalam kes rasuah Rosmah Mansor berterima kasih kepada pasukannya kerana memberi tumpuan '100%'.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Gopal Sri Ram adalah ketua pasukan pendakwaan dalam kes rasuah projek hibrid solar Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Gopal Sri Ram adalah ketua pasukan pendakwaan dalam kes rasuah projek hibrid solar Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Ketua pendakwaan dalam kes rasuah Rosmah Mansor hari ini memuji pasukan timbalan pendakwa rayanya kerana bekerja secara profesional sepanjang hampir empat tahun bersamanya, sambil menambah persoalan sama ada pasukannya gembira dengan keputusan hakim hari ini tidak timbul.

“Tak ada sebarang isu gembira atau sedih. Kami hanya jalankan tugas dan akan teruskan untuk kes selanjutnya," kata Gopal Sri Ram kepada pemberita  selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmah selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah melibatkan projek hibrid solar.

“Bukan kerja kami untuk gembira atas kesedihan orang lain,” kata Sri Ram, yang turut dilantik mengetuai pendakwaan terhadap Najib.

Beliau berkata hakim telah menjalankan penghakiman yang setara dengan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah.

“Memberikan hukuman tidak pernah mudah. ​​Sebagai bekas hakim, saya boleh beritahu anda bahawa membuat penghakiman tidak pernah mudah. ​​Ia adalah salah satu peranan yang paling sukar dalam kehidupan kehakiman.

“Seseorang perlu mempertimbangkan banyak perkara dalam mencari kesetaraan. Hakim mungkin fikir 10 tahun hukuman itu adalah adil, dan kami tidak bercadang untuk merayu sebarang penambahan hukuman melainkan peguam negara berpendapat sebaliknya," kata Sri Ram yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan di mana beliau telah membuat lebih 800 penghakiman yang menjadi rujukan undang-undang Komanwel.

Rosmah, 70, adalah isteri bekas perdana menteri Najib Razak baru-baru ini menjalani hukuman 12 tahun penjara.

Beliau didakwa meminta suapan sebanyak RM187.5 juta serta menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta dari Jepak Holdings Sdn Bhd sebagai balasan membantu syarikat itu memperoleh  projek bernilai RM1.25 bilion.

Rasuah tersebut didakwa telah diterima melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor.

Dalam pada itu, Sri Ram turut memberikan respons berhubung keputusan menjadikan Rizal sebagai saksi pendakwaan, mengatakan budi bicara sedemikian bagi pihak pendakwaan adalah perkara biasa bagi memastikan sabitan.

“Kadangkala pendakwa raya perlu pertimbangan yang setara, siapa yang melakukan jenayah dan bukti siapa yang diperlukan untuk memastikan sabitan.

“Sebagai contoh, ada sekumpulan perompak, tiga daripada mereka sedang dibicarakan, namun yang keempat beri keterangan terhadap mereka itu, tidak ada yang luar biasa mengenainya."

Sri Ram berkata pasukan pendakwa raya dan penyiasat yang terlibat dalam kes itu telah bertindak secara profesional.

“Saya tidak dapat melaksanakan tugas saya jika tidak mendapat sokongan padu yang mereka berikan kepada saya.

"Pemenang hari ini ialah timbalan pendakwa raya (DPP) saya dan pegawai penyiasat saya.

"DPP saya memberikan tumpuan 100%. Mungkin ada juga keculasan di pihak saya, tetapi bukan mereka," katanya.