- Iklan -
Berita

Rundingan antara pembangkang demi negara, bukan untuk PN, kata Muhyiddin

Bekas perdana menteri itu berkata saranan itu bertujuan melindungi negara daripada terus terjerumus dengan kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata saranan beliau agar parti pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN adalah untuk masa depan negara serta rakyat, dan bukannya untuk kepentingan parti.

Bekas perdana menteri itu berkata saranan itu bertujuan melindungi negara daripada terus terjerumus dengan kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.

“Cadangan ini disuarakan berdasarkan kepada kebimbangan rakyat ketika ini. Ia bukan untuk kepentingan politik PN atau untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” kata Muhyiddin yang juga pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) selepas mempengerusikan mesyuarat majlis berkenaan semalam.

Muhyiddin ketika berucap pada Konvensyen PN Sabtu lepas menyarankan semua pimpinan parti pembangkang untuk mempertimbang semula rundingan dengan PN untuk mencapai kesepakatan pada PRU15 akan datang.

PN terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah AirKu (Star) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung pendirian Pakatan Harapan untuk tidak menjalin kerjasama dengan PN, Muhyiddin menyifatkannya sebagai kenyataan bersifat peribadi.

“Yang saya baca, yang tolak (kerjasama) adalah Rafizi. Tak apa kita terima pandangan beliau itu, tetapi (menerusi) kerjasama politik, ia akan membolehkan gabungan parti untuk tawarkan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU15.