- Iklan -
Berita

PN boleh bincang dengan GTA, kata Dr Mahathir

Bagaimanapun, sama ada kerjasama akan terjalin antara kedua-dua parti masih belum ditentukan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Gerakan Tanah Air (GTA) terbuka untuk berbincang dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun keputusan sama ada kerjasama akan dijalinkan "tidak tahu lagi", kata Pengerusi Penaja GTA Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang mengulas saranan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin agar parti pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN berkata, kerjasama dengan PN  perlu dibincangkan dengan semua parti gabungan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam gerakan itu.

“Dia (Muhyiddin) boleh datang bincang tapi keputusan (untuk kerjasama) kita tidak tahu lagi,” katanya kepada pemberita selepas sesi "flag off" Program Semangat Merdeka anjuran GTA di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir berkata Muhyiddin ada datang bertemu dengannya baru-baru ini, namun ia hanya pertemuan biasa dan bukan perbincangan mengenai kerjasama politik.

Muhyiddin ketika berucap pada Konvensyen PN Sabtu lepas menyarankan semua pimpinan parti pembangkang untuk mempertimbang semula rundingan dengan PN untuk mencapai kesepakatan pada PRU15 akan datang.

Dr Mahathir berkata GTA yang dianggotai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta NGO berjuang berpaksikan kepada penentangan salah guna kuasa, rasuah dan memperjuangkan hak kaum Melayu bagi membina sebuah kerajaan yang bersih.

Beliau berkata GTA akan mengemukakan permohonan pendaftaran gerakan itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 6 September ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.