- Iklan -
Berita

Pendakwaan tarik balik surat mohon mahkamah utamakan kes Zahid

Timbalan pendakwa raya Abdul Malik Ayob yang mengemukakan permohonan itu memberitahu mahkamah bahawa perkara tersebut sudah selesai dengan mengambil kira penarikan balik surat berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi (lima dari kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi (lima dari kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Pihak pendakwaan dalam kes Ahmad Zahid Hamidi menarik balik surat yang dihantar kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah supaya memberi keutamaan kepada perbicaraan kes rasuah presiden Umno itu berbanding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib Razak.

Timbalan pendakwa raya Abdul Malik Ayob yang mengemukakan permohonan itu memberitahu mahkamah bahawa perkara tersebut kini sudah selesai dengan mengambil kira penarikan balik surat berkenaan.

“Oleh itu tiada permohonan sedemikian di hadapan mahkamah ini. Kita teruskan dengan perbicaraan ini,” katanya sebelum bermulanya prosiding hari ini.

Pada ketika ini, hakim Sequerah berkata tiada sesiapa yang boleh menentukan kes apa yang harus diberi keutamaan di mahkamah.

Peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, kemudian bangun dan berkata surat itu boleh ditafsirkan sebagai memberi tekanan kepada mahkamah.

"Kami berharap perbicaraan ini akan dijalankan mengikut kedaulatan undang-undang," tegasnya.

Hakim Sequerah juga merupakan hakim perbicaraan dalam kes 1MDB Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Surat kepada setiausaha hakim Sequerah dihantar petang semalam yang Malik menyatakan bahawa beliau diarah memberi keutamaan kepada kes Zahid yang kini di peringkat pembelaan dan salinan surat itu turut diserah kepada pasukan pembelaan Zahid. 

Sejak petang semalam, surat itu tular di media sosial malah terdapat pihak mempertikaikan ketulenannya.

Perbicaraan kemudian bersambung apabila Zahid diperiksa semula oleh peguamnya Hamidi Mohd Noh.

Zahid membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi.