- Iklan -
Berita

PAS ulangi tidak bubar DUN negeri diterajuinya jika PRU15 tahun ini

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata langkah itu adalah untuk menumpukan perhatian kepada pemulihan kehidupan rakyat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kibaran bendera PAS dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Gambar: AFP
Kibaran bendera PAS dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Gambar: AFP

Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri yang diterajui PAS tidak akan dibubarkan sebelum Mac tahun depan, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata langkah itu dibuat bagi menumpukan perhatian kepada kehidupan rakyat.

“Buat masa ini penumpuan yang lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang perekonomian selain dari kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut mengulangi PAS tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, PAS mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dan optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan Bumiputera

Pendirian PAS dilihat berbeza daripada Muhyiddin Yassin yang merupakan pengerusi Perikatan Nasional (PN) di mana PAS turut menganggotainya.

Semalam, Muhyiddin menggesa rundingan dibuat di antara parti-parti pembangkang bagi melindungi negara daripada amalan kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.

“Cadangan ini disuarakan berdasarkan kepada kebimbangan rakyat ketika ini. 

“Ia bukan untuk kepentingan politik PN atau untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” kata Muhyiddin.

Beliau juga menyarankan semua pimpinan parti pembangkang untuk mempertimbang semula rundingan dengan PN untuk mencapai kesepakatan pada PRU15 akan datang.

Selain PAS, PN yang diterajui Bersatu itu turut dianggotai oleh Gerakan, Parti Solidariti Tanah AirKu (Star) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.