- Iklan -
Berita

Makin ramai ibu bapa terbeban hutang beli rumah anak

Pakar berkata kanak-kanak harus diajar rasa tanggungjawab kewangan dan cara menguruskan wang mereka dengan betul.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan kawasan perumahan di Jalan Kuching, Kepong, Kuala Lumpur.
Pemandangan kawasan perumahan di Jalan Kuching, Kepong, Kuala Lumpur.

Beberapa kebimbangan dibangkitkan mengenai trend di mana ramai pasangan suami isteri melakukan apa sahaja cara untuk mendapatkan rumah bagi anak-anak mereka, walaupun sebelum mereka dewasa, termasuk mengambil gadai janji dan terikat dengan pelbagai pinjaman.

Perbincangan tersebut dilihat seakan menjadi satu trend di media sosial apabila masing-masing mendedahkan strategi bagaimana mereka berusaha mendapatkan pinjaman rumah untuk anak-anak mereka.

Pakar kewangan keluarga Fazli Sabri berkata menjadi sesuatu yang tidak adil kepada ibu bapa sekiranya mereka sanggup ikat perut dan bersusah payah dalam keadaan ekonomi sekarang hanya ingin memastikan semua anak-anak memiliki rumah.

"Kena tanya diri balik, adakah ‘ultimate goals’ sebagai ibu bapa adalah untuk menyediakan anak-anak sebiji rumah?" katanya kepada MalaysiaNow.  

Menurut Fazli, sebagai ibu bapa terdapat tiga asas kewangan yang perlu dipenuhi sebelum memekikirkan kepentingan membeli rumah.

"Paling penting sekali adalah mempunyai simpanan yang cukup bagi urusan kecemasan. Sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

"Kedua pula pastikan anak-anak mempunyai perlindungan sama ada insurans atau takaful.

"Ketiga paling penting adalah dana pendidikan tinggi untuk anak-anak."

Tambahnya, jika semua asas itu sudah selesai dicapai maka ianya tidak menjadi masalah sekiranya terdapat hasrat lain yang ingin disediakan seperti aset hartanah.

Harga rumah makin tinggi

Sementara itu, sepasang suami isteri mahu dikenali sebagai Zakiyah dan Ismail menetap di Setapak, Kuala Lumpur memberitahu mereka nekad membeli kepingan emas dari bank untuk dijadikan deposit rumah kepada empat orang anaknya yang masih di universiti dan sekolah menengah.  

Ismail berkata, dia khuatir sekiranya anak sulungnya tidak mampu membeli rumah meskipun bakal mendapat kerja dalam beberapa tahun lagi.

"Saya memang tak mampu nak beli empat rumah. Tetapi harga rumah semakin tinggi. Mereka lagi tak mampu.

"Rumah yang murah berada jauh dari Kuala Lumpur. Kami tidak mahu anak-anak duduk berjauhan," katanya kepada MalaysiaNow.  

Kini, dua daripada empat anak mereka sudah diberi "jaminan" mendapat rumah sendiri di usia muda.

Suami isteri itu bekerja sebagai ahli farmasi di hospital swasta.

Kini, mereka  menanggung bayaran ansuran pinjaman bagi dua buah rumah sebanyak RM4,230 setiap bulan dengan RM2115 setiap rumah.

Lokasi dua rumah tersebut berada di Bangi, Selangor.

"Dua lagi rumah saya akan cuba dapatkan pinjaman melalui akaun kedua KWSP saya dah isteri.

"Tak ada duit bersara pun tak mengapa. Asalkan anak-anak ada rumah," katanya.

Di United Kingdom, menurut satu laporan oleh Halifax, salah sebuah bank di negara itu mendapati satu pertiga ibu bapa membantu anak-anak mereka mendapatkan rumah pertama yang menyebabkan ramai pakar bimbang ianya akan merosakkan aliran kewangan sendiri.

Sementara itu, Fazli berkata sokongan yang kuat secara kewangan kepada anak-anak bukannya isu utama sekiranya mereka ternyata mampu untuk membeli rumah atau aset hartanah yang diimpikan.

Bagaimanapun, ianya akan menjadi sangat mencabar kepada golongan muda kerana mereka perlu didedahkan tentang disiplin dan cara menguruskan kewangan dengan betul.

"Mereka perlu tahu bagaimana untuk membelanjakan wang. Bagaimana nak bayar ansuran rumah, bayar bil dan sebagainya.