- Iklan -
Berita

Kekosongan jawatan di Johor melebihi pencari kerja, kata MB

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri sedang meneliti kemungkinan terdapat banyak isu ketidakpadanan dalam permintaan pekerjaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menunggiy bas di Bentayan, Muar, Johor.
Orang ramai menunggiy bas di Bentayan, Muar, Johor.

Terdapat 51,944 kekosongan jawatan di Johor ketika ini yang  melebihi jumlah pencari kerja sebanyak 34,278 orang, kata Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

Selain meminta rakyat negeri ini memanfaatkan peluang pekerjaan yang ada terutama dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan, Onn berkata kerajaan negeri juga sedang meneliti kemungkinan terdapat banyak isu ketidakpadanan dalam permintaan pekerjaan.

"Oleh itu, kerajaan negeri sedang meneliti isu ini dan akan melibatkan kesemua pihak berkepentingan dalam satu sesi libat urus untuk mendapatkan penyelesaiannya," katanya dalam hantaran di laman Facebook. 

Beliau memaklumkan menemui Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Mohammed Azman Aziz Mohammed dan berbincang mengenai kebajikan pekerja dan peluang pekerjaan di Johor.

Onn berkata terdapat juga cadangan supaya pusat-pusat khidmat di negeri ini dijadikan pusat satelit Perkeso yang akan menjadi tempat sehenti bagi majikan melakukan temu duga dan suai kenal dengan tenaga kerja yang berpotensi.

Dalam pada itu, beliau berkata 34,806 individu yang bekerja sendiri telah berdaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) termasuk daripada sektor perkhidmatan sokongan, pengangkutan penumpang dan pengangkutan barang serta makanan.

Onn juga mengalu-alukan kerjasama Perkeso dalam menyalurkan maklumat mengenai program dan bantuan yang diadakan bagi membantu rakyat negeri itu termasuk 278,000 suri rumah.

Menurutnya golongan suri rumah menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat dan layak dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah. 

"Ini mampu memberikan implikasi positif terhadap kadar pengangguran, meningkatkan kadar perkhidmatan dan tenaga buruh serta memastikan perlindungan keselamatan sosial pekerja yang menyeluruh kepada rakyat Johor," katanya.