- Iklan -
Berita

Najib ke penjara hari ini

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib Razak bagi kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak bagi pertuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International, memberi tamparan hebat terhadap nasib bekas perdana menteri itu selepas hampir empat tahun beliau jatuh dari tampuk pentadbiran kerajaan.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menyampaikan penghakiman sebulat suara itu selepas prosiding dramatik di mana pihak pembelaan cuba menggugurkan beliau daripada pendengaran rayuan tersebut.

Beliau akan mula menjalani hukuman penjara hari ini, menjadikan beliau sebagai perdana menteri pertama dihantar ke penjara.

Najib, 69, disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Rayuan turut mengekalkan keputusan itu pada 8 Disember 2021.

Sebelum keputusan hari ini disampaikan, Najib membaca sebuah kenyataan mengatakan beliau bertanggungjawab terhadap keputusan berhubung peguam belanya.

Beliau menggantikan pasukan peguamnya tiga minggu sebelum prosiding rayuannya dimulakan minggu lalu.

Najib melantik Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama dan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam caranya.

Sebelumnya, Najib diwakili Muhammad Shafee Abdullah dan firma guaman Tetuan Shafee & Co.

Tetuan Shafee & Co bertanggungjawab mewakili Najib dalam kes SRC International sejak ahli Parlimen Pekan itu didakwa pada 2018.

Bagaimanapun, Hisyam memohon untuk menarik diri sebagai peguam Najib pada 18 Ogos lalu, memberikan alasan beliau memerlukan lebih banyak masa untuk bersedia bagi menghadapi kes tersebut.

Namun, permohonan itu ditolak Mahkamah Persekutuan, dan keesokannya Najib turut menggugurkan ZIST sebagai peguam caranya.

Bercakap hari ini, Najib berkata berdasarkan nasihat daripada peguam cara dan peguam luarnya, beliau yakin keputusan yang diambilnya ketika itu adalah tepat.
 
“Peguam saya sebelum ini di Shafee & Co bekerja dengan baik dalam tempoh empat tahun lalu, bekerja keras dalam mewakili saya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, itulah sebabnya mereka kekal sebagai peguam saya dalam perbicaraan lain yang saya hadapi.

“Namun di sebalik kerja keras mereka itu, saya tetap kalah dalam kedua-dua perbicaraan saya (di Mahkamah Tinggi) dan rayuan kepada Mahkamah Rayuan, bukan kerana pembelaan saya tidak mempunyai merit," katanya.

Najib berkata beliau merasakan perspektif baharu mengenai kes itu adalah perlu bagi proses rayuan terakhirnya, di mana rancangan awalnya adalah untuk mendapatkan khidmat Peguam Diraja UK.

Bagaimanapun, permohonan untuk membawa Jonathan Laidlaw ke dalam pasukannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Julai lalu.

"Zaid Ibrahim yang pernah menghubungi saya suatu ketika dahulu menyatakan beliau boleh membawa masuk kepakaran undang-undang dari India melalui rakan kongsi Singapuranya, Encik Niru Pillai," kata Najib.

“Saya tidak tahu tentang kepakaran Zaid Ibrahim atau rakan kongsi Singapuranya, atau kepakaran mereka mengenai undang-undang jenayah, namun kemudiannya  saya diperkenalkan kepada dua peguam kanan dari India oleh mereka, yang pada mulanya idea mereka menarik perhatian saya.

"Zaid dan pasukannya menawarkan khidmat dengan syarat firma mereka mesti diletakkan sebagai peguam cara dalam rekod, dan peguam tempatan baru untuk menyertai pasukan guaman (saya),” katanya.

"Saya tidak pernah tahu bahawa Zaid Ibrahim mahupun Niru Pillai tidak pernah mengamalkan undang-undang jenayah, atau mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai perkara itu."

Najib turut menambah beliau tidak pernah meminta penangguhan dalam rayuan itu sehingga ke saat itu dan berkata beliau yakin ia adalah keputusan yang sesuai selepas diberitahu bahawa rayuan kes berprofil tinggi lain pada masa lalu diberikan penangguhan beberapa kali dalam semangat proses keadilan yang wajar.

"Saya tidak malu untuk mengatakan, saya memang terdesak, seperti mana-mana perayu yang berada dalam situasi saya. 

“Saya fikir apa yang saya putuskan akan meningkatkan peluang saya dalam menambah baik kualiti penghujahan dalam rayuan ini.”