- Iklan -
Berita

Shafee kembali ketika peguam mohon ketua hakim tarik diri dalam rayuan Najib

Hisyam Teh Poh Teik berkata beliau melantik peguam kanan itu untuk membantunya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah.

Ketua peguam Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan Mahkamah Persekutuan bahawa bekas peguam bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah dilantik bagi membantunya dalam rayuan bagi mengenepikan sabitan kes SRC International.

Shafee kembali bersama pasukan Najib selepas baru sahaja sebulan  firma guamannya Tetuan Shafee & Co digugurkan daripada mewakilinya bagi rayuan terakhir mengenepikan sabitan dan hukuman penjara terhadapnya berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Tetuan Shafee & Co mewakili Najib dalam kes berkait SRC sejak ahli Parlimen Pekan itu didakwa pada 4 Julai 2018.

Firma itu kemudiannya diganti oleh Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), sementara Hisyam dilantik sebagai peguam utama menggantikan Shafee. 

Pada 19 Ogos, Najib menggugurkan ZIST, sehari selepas Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu, mengatakan beliau tidak bersedia menghadapi kes tersebut.

Bagaimanapun, panel lima hakim diketuai Tengku Maimun sebulat suara menolak permohonan Hisyam, mengatakan beliau gagal mengemukakan alasan yang cukup untuk permohonannya itu.

Ketika pendengaran di kamar mahkamah, Shafee meminta supaya hakim membenarkan penangguhan hujahan bagi permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri.

Bagaimanapun, ketua hakim itu menolak permintaannya dan memerintahkan Hisyam meneruskan penghujahan.