- Iklan -
Berita

Muhyiddin lega keputusan kes SRC Najib, ingatkan ia bukan pengakhiran

Bekas perdana menteri yang dipecat dari Umno pada 2015 kerana lantang mengkritik skandal 1MDB berkata beliau bersama rakyat dapat menarik nafas lega dengan keputusan hari ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mengalu-alukan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas bosnya, Najib Razak, namun mengingatkan ia bukanlah pengakhiran dalam perjuangan melawan rasuah.

Muhyiddin yang dipecat daripada kerajaan pada 2015 kerana lantang mengkritik Najib Razak berhubung skandal 1MDB berkata masih banyak kes berprofil tinggi yang masih dibicarakan, termasuk kes melibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya berharap, kebebasan badan kehakiman di negara kita terus dilindungi tanpa ada cubaan campurtangan atau desakan politik dari mana-mana pihak agar keadilan dapat tertegak,” kata pengerusi Perikatan Nasional itu dalam sebuah kenyataan, beberapa jam selepas panel lima hakim menyampaikan keputusan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Najib, yang mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN) dari 2009 sehingga beliau tumbang pada pilihan raya umum 2018, dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukumannya, menjadi bekas perdana menteri Malaysia pertama dipenjarakan.

Susulan pemecatannya, Muhyiddin bergabung tenaga bersama Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan Bersatu, memberikan cabaran hebat terhadap penguasaan Umno sebagai parti Melayu.

Pada 2018, Bersatu menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan kerajaan BN yang berkuasa dalam pentadbiran kerajaan selama lebih enam dekad.

Dua tahun kemudian, parti itu memutuskan untuk keluar daripada gabungan itu berikutan perselisihan mengenai gesaan untuk menamakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. 

Krisis itu berakhir dengan peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri sekali gus menyebabkan PH tumbang.

Muhyiddin mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020 selepas lebih seminggu kelompongan jawatan perdana menteri berikutan sokongan Bersatu, BN, GPS serta sekumpulan ahli parlimen PKR yang menentang Anwar.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang sebelum ini mendakwa wujud percubaan supaya beliau campur tangan dalam urusan mahkamah membabitkan kes rasuah berprofil tinggi, berkata keputusan hari ini adalah bukti kebebasan badan kehakiman negara, sambil menambah ia akan memulihkan imej Malaysia.

"Kebebasan sistem kehakiman inilah yang saya pertahankan ketika saya menjadi perdana menteri," kata Muhyiddin yang dijatuhkan daripada pentadbiran kerajaan selepas komplot diketuai Najib, Zahid dan sekumpulan ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengan mereka.

"Walaupun ada desakan politik supaya saya campur tangan dalam kes tertentu, saya tegas menolaknya walau akhirnya saya terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip ini."

Muhyiddin berkata beliau akhirnya dapat menghela nafas lega dengan keputusan mahkamah dalam kes Najib hari ini, sambil menambah beliau menyatakan kebimbangannya mengenai “penyelahgunaan kuasa dan rasuah pada skala yang besar" berkait penyelewengan dalam skandal 1MDB sejak 2015.

"Walaupun saya dihukum dengan pemecatan dari kerajaan dan parti pada ketika itu, saya terus istiqamah dengan prinsip menegakkan yang hak.”