- Iklan -
Berita

Najib bersumpah laknat di masjid sekali lagi

Bekas perdana menteri itu berkata laknat Allah halal ke atas dirinya jika beliau berdusta.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak ketika bersumpah di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Bekas perdana menteri Najib Razak ketika bersumpah di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang dalam proses rayuan akhir bagi kesalahan menyeleweng dana RM42 juta SRC International malam ini sekali lagi melafazkan sumpah mubahalah (laknat diri) menafikan terlibat dalam kes tersebut.

Dalam acara di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur itu, Najib berkata sumpah yang dilafazkan beliau adalah bagi membersihkan namanya dan keluarga selain tidak mahu orang ramai terus termakan dengan fitnah berhubung kes itu.

"Aku, Mohd Najib bin Abdul Razak setelah berusaha dan berjuang dengan sebaik mungkin untuk mendapat keadilan di dunia ini, dengan ini aku melafazkan ucapan mubahalah.

“Sejak aku diamanahkan memimpin negara Malaysia ini, aku tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya, bahawa dana sebanyak RM42 juta itu datang dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung,” lafaz Najib yang berbaju Melayu dan bersongkok.

Sumpah yang dimulakan dengan nama Allah itu turut menafikan beliau bersetuju menubuhkan SRC untuk kegunaan peribadinya atau keluarga.

Beliau juga menafikan mengarahkan mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan dana ke dalam akaun bank peribadinya.

“Sekiranya aku berdusta atas sumpahku, maka ya Allah hallallah laknatmu ke atas diriku.”

Ini bukanlah kali pertama Najib bersumpah laknat di masjid.

Pada 2019 Najib bersumpah menafikan dakwaan mengenai penglibatannya berhubung pembunuhan seorang wanita warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Sumpahnya malam ini dibuat menjelang perbicaraan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan berhubung kes itu yang akan bersambung pada Selasa.