- Iklan -
Berita

Bagaimana kekurangan tenaga kerja kurangkan tabiat lepak malam

Walaupun pandemik dan kekurangan buruh asing menjejaskan tabiat pemakanan rakyat Malaysia, namun ia juga boleh menyumbang kepada gaya hidup yang lebih sihat.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Suasana pelanggan yang berbual hingga lewat pagi di sebuah restoran di Kajang.
Suasana pelanggan yang berbual hingga lewat pagi di sebuah restoran di Kajang.

Sebelum pandemik Covid-19, aktiviti melepak di kedai makanan segera dan restoran mamak menjadi seakan budaya di Malaysia. 

Bermula dengan sarapan pagi, makan tengah hari, makan petang, malam dan tengah malam semuanya ada di kedua-dua jenis restoran berkenaan. 

Meskipun sudah lebih empat bulan masuk ke fasa endemik, budaya dan tradisi itu dilihat masih hambar apabila banyak kedai dan restoran menutup operasi lebih awal. 

Sejak beralih ke fasa endemik Covid-19, beberapa peraturan dan kelonggaran diberikan termasuk pengorepasian premis makanan 24 jam dan tiada syarat memakai pelitup muka di kawasan awam selain di dalam bangunan tertutup seperti pusat membeli belah. 

Bagaimanapun, krisis kemasukan pekerja asing yang masih belum diselesaikan menyebabkan banyak pengusaha dan pemilik restoran berdepan isu kekurangan pekerja. 

Ini menjadikan mereka tidak mampu untuk beroperasi dalam tempoh yang lebih lama. 

Pada masa sama, perubahan trend ini juga menyaksikan lebih ramai orang tidak mengunjungi premis makanan pada waktu lewat malam untuk makan. 

Adakah perubahan tradisi dan budaya melepak di kedai makan boleh mengubah gaya hidup serta pemakanan yang lebih sihat buat rakyat Malaysia? 

Pakar pemakanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Geeta Appannah berkata, pada umumnya penutupan kedai makan lebih awal boleh membantu orang ramai untuk tidak makan lewat malam dan mencegah daripada menghidap-penyakit kronik. 

Bagaimanapun, katanya Geeta, faktor individu dan persekitaran di rumah pada waktu malam perlu juga diberikan perhatian. 

Katanya, terdapat beberapa teori mengapa makan lewat malam di restoran dan kedai mamak boleh menyebabkan obesiti dan diabetes. 

Antaranya, makan lewat malam di luar pada kebiasaannya dibuat dalam keadaan yang santai, iaitu semasa menonton bola sepak dan berbual. 

Aktiviti-akitiviti ini katanya, biasanya mendapat perhatian yang lebih berbanding pengambilan kalori semasa makan.

"Ini adalah bertentangan dengan kaedah pengurusan berat badan yang menekankan perhatian kepada pemakanan dengan beringat (mindful) dan tidak makan semasa menonton TV. 

"Selain itu, makanan yang dijual di kebanyakan kedai mamak dan restoran makanan segera adalah jenis yang tinggi kalori, lemak, gula dan garam," katanya kepada MalaysiaNow.  

Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), yang dijalankan setiap empat tahun, mendapati 50.1% rakyat Malaysia mencatatkan berat badan berlebihan dengan 19.7% daripada mereka dikesan menghadapi masalah obesiti pada tahun 2019. 

Ini bermakna satu dalam dua orang dewasa kini berlebihan berat badan. 

Bagi kanak-kanak pula, 30% daripada mereka yang berumur lima hingga 13 tahun disahkan menghidap obesiti. 

Kata Geeta yang juga presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, makanan-makanan seperti itu kurang memberi rasa kekenyangan dan boleh meningkatkan pengambilan tenaga harian secara berlebihan dan seterusnya peningkatan berat badan dalam satu jangka masa. 

Dalam pada itu, tinjauan MalaysiaNow di sebuah restoran mamak di Bandar Baru Bangi mendapati orang ramai mula terbiasa dengan tempoh operasi restoran apabila kurang pelanggan berada di premis pada jam 12 tengah malam. 

Sepasang suami isteri yang ditemui satu jam sebelumnya memberitahu, kedua-dua mereka mula mendisiplinkan diri untuk tidak makan lewat malam ketika berada dalam perintah berkurung dua tahun lalu. 

Bercakap lebih lanjut, mereka yang berada di awal usia 40-an berkata mereka disahkan menghidap diabetes sejak lima tahun lalu selepas membuat pemeriksaan saringan bersama di sebuah hospital. 

Tetapi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020, mereka sudah mula menyesuaikan diri tidak makan lewat malam dan usaha itu membuahkan hasil apabila bacaan gula dalam darah mulai terkawal. 

"Berat tak turun tapi gula saya terkawal. Sekarang pergi periksa di hospital setiap tiga bulan sekali. Dulu, sebulan sekali.

"Kalau lapar sangat lepas pukul 10 malam, saya akan datang makan roti bakar sahaja kongsi dengan isteri." 

Atas sebab itu, Geeta mengesyorkan supaya trend kurang pengambilan makanan pada lewat malam pada waktu ini dikaji secara terperinci. 

Katanya, tanpa kajian lanjut dan sistematik, ianya akan mempengaruhi data dan kesimpulan kajian. 

"Bagaimanapun, perubahan gaya hidup adalah penting untuk memastikan kesihatan yang optimum. 

"Apa yang penting adalah keseimbangan dalam pengambilan tenaga dari pemakanan yang sihat."