- Iklan -
Berita

Gesaan lindung hak penumpang meningkat selepas syarikat terus batal, tangguh penerbangan

Susulan isu pembatalan dan penangguhan penerbangan yang kini dilihat menjadi trend di peringkat global mengundang gesaan supaya pampasan mandatori dikenakan terhadap syarikat penerbangan terbabit.

Azzman Abdul Jamal
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang penumpang menolak troli bagasi di hadapan skrin paparan perlepasan penerbangan di KLIA, Sepang.
Seorang penumpang menolak troli bagasi di hadapan skrin paparan perlepasan penerbangan di KLIA, Sepang.

Semakin banyak tekanan diberikan terhadap kerajaan supaya meneliti semula undang-undang penerbangan awam berikutan kekecewaan dalam kalangan penumpang pengangkutan udara Malaysia, di mana mereka merasakan syarikat penerbangan  tidak bertanggungjawab selepas melakukan pembatalan dan menangguhkan penerbangan, masalah yang sering dikaitkan dengan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia.

AirAsia yang merekodkan pembatalan tiket paling tinggi berbanding syarikat penerbangan lain ketika musim perayaan Aidilfitri tahun ini, menjadi topik hangat dalam hantaran media sosial dan kumpulan perbualan dalam talian di mana penumpang mendokumentasikan pengalaman buruk mereka baik berhubung isu gagal berkomunikasi dengan pelanggan sehinggalah ketidakmampuannya untuk membayar pampasan kepada pelanggan.

Antara yang menyuarakan isu berkait syarikat itu adalah ahli politik Sabah Wilfred Madius Tangau yang membuat ciapan Twitter mengenai rancangan perjalanannya yang terganggu akibat penangguhan penerbangan berulang kali selain pertukaran pesawat.

“(Perjalanan) saya disahkan dan bahkan telah pun daftar masuk bagi penerbangan KUK/BKI pada pukul 8 malam melalui AirAsia malam ini, namun kemudiannya ia dijadualkan semula kepada 10 malam dan yang terbaru ia dijadualkan semula kepada 12.30 pagi ETA 3.30 pagi. Memang gila," ciap Madius pada Mei lalu.

Kini ahli Parlimen Tuaran itu berhasrat membawa cadangan usul berkaitan isu tersebut pada sidang Dewan Rakyat Oktober depan.

Katanya, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mesti menjelaskan sama ada kerajaan mempunyai hasrat untuk meminda undang-undang penerbangan awam supaya ia lebih menjamin hak menumpang.

Antara cadangan itu termasuklah pampasan secara mandatori kepada penumpang terutama melibatkan pembatalan penerbangan yang dilakukan oleh pihak syarikat penerbangan.

"Jelas sekali tiada tindakan diambil kerana isu ini (pembatalan dan penangguhan penerbangan) masih lagi berlaku," katanya kepada MalaysiaNow.

"Ketegasan perlu ditunjukkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom). Mungkin Jabatan Penerbangan Awam (DCA) juga perlu kaji akta sedia ada."

Isu melibatkan pembatalan dan penangguhan penerbangan semakin hangat sejak dunia digemparkan dengan penularan wabak Covid-19 mengakibatkan syarikat-syarikat penerbangan di peringkat global terpaksa menutup operasi susulan sekatan pergerakan yang dilaksanakan kebanyakan negara.

Berdasarkan beberapa temubual yang dilakukan MalaysiaNow terhadap penumpang antarabangsa dan tempatan, isu ini bukan saja berlaku di Malaysia tetapi juga peringkat global.

Malah, baru-baru ini di Amerika Syarikat, dua wakil daripada Parti Demokrat mencadangkan supaya syarikat penerbangan tidak dibenarkan untuk menawarkan penerbangan sekiranya tidak mempunyai jumlah kakitangan yang mencukupi atau membatal penerbangan dalam waktu yang singkat dengan waktu pelepasan.

Disebabkan kemarahan semakin memuncak akibat ribuan pembatalan penerbangan, wakil rakyat terbabit - Schakowsky dan David Cicilline menegaskan supaya tindakan yang lebih tegas diperlukan dan pihak syarikat penerbangan harus dipertanggungjawabkan dengan segala kesulitan yang dihadapi penumpang.

Isu ini juga tidak terkecuali di Malaysia meskipun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu, malah ia "meletup" di media sosial terutama ketika menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini apabila ramai berkongsikan cerita mengenai kesukaran untuk menaiki penerbangan mereka.

Berdasarkan data yang ditunjukkan oleh Mavcom pada 30 Mei lalu, sebanyak 495 penerbangan atau 8% daripada 6,000 penerbangan ditunda melebihi satu jam direkodkan dari 29 April hingga 9 Mei 2022.

Menurut kenyataan itu, AirAsia mengendalikan 2,954 penerbangan dan 13% atau 368 penerbangan mengalami penundaan lebih tempoh sejam diikuti Malaysia Airline yang mana 3% atau  44 penerbangan daripada 1,447 penerbangan dilaporkan ditunda.

"MASWings mengendalikan 656 penerbangan dengan 10% atau 64 penerbangan ditunda, Firefly merekodkan 2% atau 15 penerbangan daripada 680 penerbangan ditunda manakala Batik Air yang mengoperasikan 555 penerbangan, merekodkan 1% atau empat penerbangan ditunda," kata kenyataan itu.

Kesulitan penumpang

Selain daripada insiden musim perayaan ini, Alice Siew, warga Malaysia yang menetap di Taiwan menceritakan kesulitan yang dihadapinya apabila penerbangan dua hala yang sepatut dinaiki bersama Malaysia Airline (MAS) pada April lalu dibatalkan.

Bukan sahaja kes itu disifatkan sebagai menyusahkan dirinya, malah situasi tersebut juga menyebabkan dia terpaksa melakukan bayaran tambahan sebanyak RM1,203 untuk pastikan dapat kembali ke Taiwan mengikut jadual perancangannya menaiki penerbangan alternatif.

Katanya, jadual perjalanan yang dirancang sangat penting baginya terutama apabila Taiwan masih melaksanakan kuarantin Covid-19 sebelum membenarkan individu keluar masuk sempadan negara tersebut.

"Secara keseluruhan, saya bayar RM2,746 untuk penerbangan pergi balik Taipei-Kuala Lumpur," katanya sambil menunjukkan harga tiket asal penerbangan MAS yang dibelinya pada Mac lalu berjumlah RM1,543.

Sementara itu, Glenn Bruce Andrew Priere, dari Sydney berdepan pembatalan penerbangan bersama dua syarikat penerbangan iaitu Philippine Airlines dari Sydney ke Filipina dan AirAsia bagi penerbangan dua hala dari Manila ke Taipei.

Namun begitu, pembatalan itu dibuat susulan pelaksanaan sekatan pergerakan di Australia akibat penularan pandemik Covid-19 di negara terbabit.

Baginya, isu yang dihadapinya ialah berkaitan bayaran balik apabila dia terpaksa menunggu lebih setahun untuk mendapatkan duitnya dari Philippine Airlines (PAL) berjumlah A$3,400 (RM10,745) dan A$1,600 (RM5,056) dari AirAsia selepas menunggu lebih dua tahun.

"Saya terima semua bayaran balik tetapi ia bukan mudah," katanya kepada MalaysiaNow.

Selain dua kes ini, MalaysiaNow turut menghasilkan beberapa siri laporan mengenai keluhan yang diterima daripada penumpang tempatan dan antarabangsa apabila mereka hanya menerima bayaran balik dalam bentuk kredit dan baucer perjalanan susulan pembatalan penerbangan AirAsia X (AAX).

Ini selepas AAX melalui proses penstrukturan semula hutang syarikat yang mana syarikat penerbangan tambang murah itu tidak boleh memberi bayaran balik dalam bentuk tunai kerana undang-undang.

Mengulas mengenai hak penumpang, Pengurus Kanan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Baskaran Sithamparam menjelaskan panduan mengenai hak penumpang sememangnya sudah dinyatakan dalam laman sesawang Mavcom.

Katanya, perenggan 12 yang digariskan dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACOC) 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 jelas menunjukkan syarikat penerbangan perlu memberi pampasan atau jagaan kepada penumpang yang menghadapi isu kelewatan penerbangan.

"Kelewatan penerbangan selama dua jam atau lebih, penumpang hendaklah ditawarkan secara percuma, makanan, minuman, panggilan telefon yang terhad kepada internet mengikut keadaan yang munasabah dengan waktu menunggu.

"Bagi penerbangan yang mengalami kelewatan selama lima jam atau lebih pula, penumpang perlu ditawarkan secara percuma penginapan hotel dan pengangkutan antara lapangan terbang dengan tempat penginapan," katanya memetik perenggan 12 yang terkandung dalam MACOC.

Namun begitu, Wilfred mengatakan masalah utama berhubung isu ini sebenarnya juga tertumpu kepada penguatkuasaan.

"Itu cuma panduan, sebab itu ia (pampasan) perlu dijadikan mandatori. 

"Jika tidak pengguna yang akan tanggung rugi," kata Wilfred sambil menegaskan mengapa beliau berpendirian supaya ingin membawa usul ini ke sidang Parlimen seterusnya.

MalaysiaNow masih menunggu maklum balas daripada Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dan Mavcom berhubung isu ini.