- Iklan -
Berita

Klinik, firma kawalan keselamatan, antara lebih 120 syarikat tak bayar gaji minima RM1,500

Antara alasannya termasuk mendakwa mereka adalah syarikat kontraktor lama di mana tender kontrak dikeluarkan sebelum perintah itu diwartakan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Firma kawalan keselamatan antara mereka yang dikenal pasti tidak membayar gaji minima kepada pekerja.
Firma kawalan keselamatan antara mereka yang dikenal pasti tidak membayar gaji minima kepada pekerja.

Lebih 120 syarikat dan agensi pekerjaan didedah melanggar perintah bayaran gaji minimum RM1,500 sejak berkuat kuasa pada 1 Mei lalu. 

Dalam satu senarai yang dikeluarkan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) bersama Parti Sosialis (PSM), didapati syarikat sekuriti dan kawalan keselamatan menjadi syarikat paling banyak gagal membayar gaji minimum. 

Terdapat 127 syarikat disenaraikan termasuk poliklinik dan syarikat pembersihan. 

"Itu semua syarikat kawalan keselamatan yang diberikan tender oleh pihak kementerian," kata seorang jurucakap PSM kepada MalaysiaNow selepas sidang media di Putrajaya. 

Katanya, ramai pekerja syarikat keselamatan terjejas akibat pelanggaran arahan tersebut. 

Ini memandangkan terdapat sekurang-kurangnya empat pekerja keselamatan di sebuah sekolah. 

"Satu syarikat jaga satu sekolah. 

"Rata-rata syarikat memberi alasan bahawa mereka kontraktor lama, pegang tender sebelum gaji minima diwartakan, jika pekerja mahu mendapatkan gaji minima RM1,500 kena tunggu kontraktor baru masuk." 

Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sudah diwartakan pada 27 April lalu dan disiarkan di laman sesawang rasmi Pejabat Peguam Negara. 

Mengikut dokumen berkenaan, kadar gaji minimum yang perlu dibayar kepada pekerja adalah sebanyak RM1,500 atau berdasarkan bilangan hari bekerja dalam seminggu.

Jika enam hari bekerja, pekerja itu harus dibayar RM57.69 sehari, RM69.23 sehari (lima hari bekerja) dan RM86.54 sehari (empat hari bekerja) dengan setiap jam bersamaan RM7.21.

Manakala, bagi seseorang pekerja yang tidak dibayar gaji pokok, tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang kena dibayar hendaklah tidak kurang daripada RM1,500.

Bagaimanapun, kadar gaji minimum RM1,500 bagi majikan yang mengambil kurang daripada lima pekerja hanya akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

Mengulas lanjut, jurucakap itu memberitahu terdapat satu pertemuan antara wakil kementerian dengan JPKK dan PSM selepas penyerahan senarai tersebut. 

"Semuanya berjalan dengan lancar dan wakil pekerja juga sudah berjumpa dengan wakil kementerian untuk perbincangan dan cadangan," katanya.