- Iklan -
Berita

Permohonan Arul, Irwan batal saman 1MDB akan didengar pesuruhjaya kehakiman baru

Pesuruhjaya kehakiman Roz Mawar Rozain akan menggantikan hakim Amarjeet Singh yang akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Rayuan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
1MDB memfailkan saman terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar pada Mei tahun lalu berhubung dakwaan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berbilion ringgit. Gambar: AFP
1MDB memfailkan saman terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar pada Mei tahun lalu berhubung dakwaan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berbilion ringgit. Gambar: AFP

Permohonan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy untuk membatalkan saman difailkan 1MDB terhadap mereka yang menuntut bayaran AS$6.59 bilion, akan didengar oleh pesuruhjaya kehakiman (JC) yang baru di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Irwan ketika dihubungi hari ini selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan penolong kanan pendaftar Azlinda Ahmad Sharif.

Menurut peguam itu, permohonan berkenaan akan didengar di hadapan pesuruhjaya kehakiman Roz Mawar Rozain bagi menggantikan hakim Amarjeet Singh yang akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas.

"Tarikh pendengaran permohonan yang ditetapkan sebelum ini pada 19 Oktober dikekalkan dan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 27 September," kata Lavinia.

Permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan Arul pada Jun lepas manakala Irwan memfailkan permohonan pada 18 Februari.

Dalam permohonan itu, Irwan antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.

Arul dan Irwan disaman 1MDB pada Mei tahun lepas berhubung dakwaan mereka telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Irwan juga berkonspirasi dengan Arul untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan perjanjian pelanjutan pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.