- Iklan -
Berita

Bekas pengarah BNS didakwa pecah amanah RM21 juta berhubung projek kapal tempur

Ahmad Ramli Mohd Nor mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan dan minta dibicarakan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengarah Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Ahmad Ramli Mohd Nor di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Bekas pengarah Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Ahmad Ramli Mohd Nor di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd  (BNS) Ahmad Ramli Mohd Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berhubung projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ramli, 78, yang juga bekas panglima tentera laut mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan hakim Suzana Hussin.

“Saya faham, saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Ramli sebagai pengarah urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah ke atas harta tersebut dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapore 049909 tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah BNS.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di BNS, tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan, antara 26 Julai 2010 dan 25 Mac 2011.

Bagi pertuduhan kedua, Ramli dituduh melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura  tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Tertuduh juga didakwa atas kesalahan serupa dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Oktober 2010 dan 22 November 2010.

 Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Ramli diikat jamin berjumlah RM500,000 dengan cagaran berbayar RM200,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 24 November untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Yusof Zainal Abiden.