- Iklan -
Berita

Kes baru Covid-19 turun 6.6% minggu lalu

Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tempoh sama, 60 kes kematian direkodkan sama seperti minggu sebelumnya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan mengambil sampel ujian swab untuk saringan Covid-19.
Petugas kesihatan mengambil sampel ujian swab untuk saringan Covid-19.

Bilangan kes baru Covid-19 menurun sebanyak 6.6 % kepada 26,678 kes pada minggu epidemiologi ke-32 (ME 32/2022) dari 7 hingga 13 Ogos. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tempoh sama, 60 kes kematian direkodkan sama seperti minggu sebelumnya. 

“Bilangan kes sembuh pada ME 32/2022 pula meningkat sebanyak 1.1 % iaitu 28,604 kes kepada 28,905 kes.

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 32/2022 adalah 44,706 iaitu terdapat penurunan sebanyak 2.7% berbanding minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan berkaitan situasi semasa jangkitan Covid-19, hari ini.

Sementara itu, bagi kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk untuk pesakit Kategori Satu dan Dua, meningkat sebanyak 5.3% manakala pesakit Kategori Tiga, Empat dan Lima meningkat sebanyak 11.4%.

Dr Noor Hisham berkata pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) meningkat sebanyak 2% manakala bagi katil PKRC dan katil bukan kritikal masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 1%.

Selain itu, peratusan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat 0.3 % pada ME 32/2022 berbanding ME31/2022.

Beliau berkata kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan.

“Jumlah kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 3.9%, kes baru yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 2.1% manakala kes yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital meningkat  66.4%,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata purata nilai RT menunjukkan penurunan sebanyak 2.0%. 

Katanya, hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 143 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif Covid-19 dengan kadar 18.6% manakala tiada sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif Covid-19 dengan kekal 0% pada ME 32/2022.