- Iklan -
Berita

Kami tak akan tinggalkan Najib, kata Zaid menjelang rayuan kes SRC

Bekas menteri itu berkata firmanya tidak bermotifkan wang ketika bersetuju mewakili Najib Razak bagi rayuan akhir kes SRC International.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Firma guaman Zaid Ibrahim (kiri) mewakili bekas perdana menteri Najib Razak (kanan) dalam rayuan akhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.
Firma guaman Zaid Ibrahim (kiri) mewakili bekas perdana menteri Najib Razak (kanan) dalam rayuan akhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.

Firma guaman yang baru dilantik Najib Razak dalam rayuan akhirnya bagi kes SRC International di Mahkamah Persekutuan hari ini berkata tidak akan menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Dalam sebuah kenyataan, Zaid Ibrahim  berkata firmanya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), tidak membuat sebarang kenyataan semasa pengurusan kes di kamar perbicaraan akan menarik diri bagi perbicaraan tersebut.

Bekas menteri undang-undang itu merujuk laporan media berhubung pengurusan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan 10 Ogos lalu, mengatakan laporan itu tidak benar atau tidak tepat.

"Firma saya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, tidak membuat sebarang kenyataan semasa perbicaraan pengurusan kes. Kami tidak meninggalkan anak guam kami," katanya.

"Sebarang laporan media yang menyatakan sebaliknya adalah nakal dan sangat dikesali,"

Zaid juga menegaskan firma guamannya itu tidak bermotifkan wang ketika ia bersetuju untuk mewakili ahli Parlimen Pekan itu dalam rayuan kes tersebut.

"Firma saya bersetuju untuk mengambil kes ini kerana anak guam kami mempunyai rungutan yang sah berhubung sabitan kesalahannya, terutama mengenai perkara yang berkait dengan kedaulatan undang-undang, undang-undang yang berkait dengan berat sebelah, dan konflik kepentingan. 

“Ia adalah kewajipan mana-mana peguam bela untuk mewakili tertuduh yang mempunyai rungutan sedemikian.

"Dengan berbuat demikian, saya tidak berprasangka terhadap kes itu, seperti mana-mana peguam lain. Membuat penghakiman adalah bidang kuasa mahkamah. 

"Sebagai peguam, tugas kami ialah membentangkan kes anak guam mengikut kemampuan kami," katanya, dan menambah beliau berharap mahkamah akan menegakkan prinsip undang-undang dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kekesalannya berhubung serangan yang disasarkan ke atas firma dan dirinya secara peribadi.

“Sindiran Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin semalam bahawa peguam yang mengambil kes pada saat-saat akhir bermotifkan wang adalah sangat tidak adil.

“Di sini, saya ingin nyatakan secara mutlak bahawa sepanjang kerjaya saya sebagai peguam dan ahli politik, saya tidak pernah mempunyai motif wang atau kedudukan. Keadilan adalah perkara yang penting bagi saya.

"Dalam apa jua keadaan, tanggapan bahawa tidak pernah ada justifikasi bagi menukar peguam pada saat-saat akhir tidak masuk akal. 

"Dalam kes ini, terdapat keperluan yang jelas untuk mengubah perspektif dan penetapan semula hujah bagi mempertahankan kes anak guam kami," katanya.

Berhubung dakwaan pelantikan firmanya adalah hanya percubaan untuk menangguhkan pendengaran rayuan, Zaid berkata ia adalah kali pertama Najib menukar peguamnya.

"Saya percaya firma saya membawa perspektif baru kepada kes itu. Atas nasihat kami, Najib mengabaikan beberapa cadangan yang kami pernah kemukakan sebelum ini. Kami hanya tumpu pada prinsip Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip keadilan semula jadi dan isu undang-undang dan fakta yang khusus dalam permohonan perbicaraan semula dan rayuan yang sewajarnya.

"Kami bersedia untuk meneruskan usul untuk perbicaraan semula jika ia dibangkitkan pada pendengaran Isnin depan. Sebagai peguam, kami mempunyai kewajipan untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih. 

"Dengan menggunakan pertimbangan profesional kami, firma saya meletakkan rekod sebagai peguam Najib. Kami akan terus mewakilinya selagi beliau yakin dengan kami," katanya.

Laporan media pada 10 Ogos lalu mengatakan firma guaman itu akan menarik diri jika Mahkamah Persekutuan bertegas untuk meneruskan pendengaran rayuan terakhir Najib minggu depan terhadap sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Pada 26 Julai, Najib melantik Hisyam Teh Poh Teik dari firma Tetuan Hisyam Teh sebagai peguam utama dan firma ZIST Liew Teck Huat dan M Rueben sebagai peguam cara barunya.