- Iklan -
Berita

Selepas kutipan hampir RM100 juta, filem Mat Kilau ke Indonesia

Tayangan filem Mat Kilau di Indonesia akan bermula pada 31 Ogos bertepatan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-65.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya meraih kutipan hampir RM100 juta dan menjadi fenomena dalam kalangan peminat filem Melayu.
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya meraih kutipan hampir RM100 juta dan menjadi fenomena dalam kalangan peminat filem Melayu.

Filem “box office” “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” bakal memasuki pasaran di negara jiran, Indonesia selepas lebih 40 hari tayangan dalam negara dengan kutipan sudah mencecah RM96 juta setakat ini. 

Pengarahnya, Syamsul Yusof memberitahu MalaysiaNow, tayangan filem Mat Kilau di Indonesia akan bermula pada 31 Ogos ini bersamaan dengan tarikh ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-65. 

Katanya, pihaknya dan penerbit menerima pelawaan daripada pawagam di Indonesia untuk menayangkan filem tersebut di seluruh negara itu.  

Syamsul berkata selain faktor kejayaan filem tersebut, kehadiran pelakon aksi dan seni bela diri Yayan Ruhian yang juga warganegara Indonesia turut menyumbang kepada permintaan tayangan di negara seberang. 

"Saya pun ada pengikut dari filem-filem saya sebelum ini di Indonesia.

"Munafik 2 terutamanya kerana filem Munafik 2 adalah filem Melayu yang paling tinggi kutipannya di Indonesia," katanya.  

"Syukur, saya ada sokongan yang kuat dengan pawagam dan penonton di sana." 

Katanya, tayangan perdana filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan akan berlangsung pada 26 Ogos ini. 

Menurut Syamsul, perbincangan masih berjalan mengenai jumlah pawagam yang terlibat memandangkan bilangan pawagam di negara tersebut lebih banyak berbanding di Malaysia. 

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan bakal membantu filem itu dipasarkan secara global melalui projek “Road to Oscars”

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata pihaknya sedang merancang untuk bekerjasama dengan beberapa pihak bagi penajaan dan beberapa keperluan lain.

“Kementerian sudah bertemu dengan universiti dan syarikat telekomunikasi tempatan untuk memulakan projek tersebut,” katanya.

Filem Mat Kilau mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 23 Jun lalu dan masih ditayangkan termasuk di Brunei dan Singapura. 

Sehingga kini, Mat Kilau kekal menjadi filem box office Malaysia tertinggi tempatan dan antarabangsa selepas Munafik 2 dan Avengers: Endgame.