- Iklan -
Berita

PM gesa Malaysia-Jepun teroka kerjasama baru melalui dasar Pandang ke Timur

Dalam ucapannya yang dibacakan menteri Mohamed Azmin Ali, beliau meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dengan Jepun dan ulang tahun ke-40 dasar Pandang ke Timur.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali (kanan) berbual dengan Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Iwata Kazuchika ketika majlis ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali (kanan) berbual dengan Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Iwata Kazuchika ketika majlis ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur hari ini. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menggesa supaya bidang kerjasama baru berkaitan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terus diterokai oleh Malaysia dan Jepun melalui projek serta program yang dilaksanakan di bawah dasar Pandang ke Timur (DPT).

Katanya ini termasuklah mempelbagaikan kerjasama dalam bidang krisis bencana, masyarakat menua, ekonomi digital, sains, teknologi dan inovasi serta pertumbuhan hijau.

Beliau berkata pada masa sama, pelaksanaan DPT juga menitikberatkan limpahan faedah yang seimbang kepada kedua-dua negara termasuk melalui keupayaan Malaysia meningkat kerjasama dalam pembangunan industri halal dengan Jepun.

“Malaysia sebagai pelopor dalam industri halal global pastinya dapat membantu Jepun yang mempunyai minat yang tinggi membangunkan industri halalnya,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pembukaan Seminar Perniagaan Ulang Tahun Ke-40 DPT hari ini.

Teks ucapan perdana menteri pada majlis itu dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Perdana menteri berkata berdasarkan jalinan perdagangan yang mendalam antara Malaysia dan Jepun, beliau turut mencadangkan agar kedua-dua negara dapat meneroka kerjasama bagi menangani isu berkaitan rantaian bekalan melalui platform DPT.

Sementara itu, Ismail berkata pencapaian kerjasama yang melangkaui lebih empat dekad antara Malaysia dan Jepun kini lebih tertumpu kepada bidang baharu selaras dengan revolusi teknologi yang telah memberi perubahan kepada landskap perindustrian dan ekonomi global.

“Kerjasama dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, sistem autonomi dan Internet pelbagai benda (IoT) yang menyaksikan Jepun mempunyai kepakaran yang tinggi, perlu dipertingkatkan,” katanya menambah ini sekali gus dapat menjamin kemampanan DPT untuk tahun-tahun mendatang.

Beliau justeru berharap kerajaan Jepun turut akan memberi sokongan padu yang berterusan bagi menggalakkan lebih banyak kerjasama dalam bidang berkenaan melalui pelaksanaan projek usaha sama di bawah DPT.

Sementara itu, Ismail merakamkan penghargaan kepada kerajaan Jepun serta komuniti perniagaan Malaysia-Jepun yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi terutama pada suku pertama tahun ini.

“Tahun ini amat istimewa hubungan dua hala Malaysia dan Jepun kerana merupakan Ulang Tahun ke-65 dalam hubungan diplomatik dan Ulang Tahun ke-40 DPT. Kerajaan Malaysia memperkenalkan DPT pada 1982 sebagai suatu peralihan daripada pemodenan yang berpaksikan Barat, kepada meneladani nilai-nilai Timur khususnya negara Jepun,” katanya.

Perdana menteri berkata malah amalan nilai-nilai terbaik di Jepun menjadi sumber aspirasi kepada Malaysia yang juga dalam proses pembangunan sosioekonominya.

“DPT telah banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan modal insan, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi terutamanya dalam sektor perkilangan dan perindustrian di Malaysia,” katanya.

Beliau turut berbangga bahawa hubungan ekonomi Malaysia-Jepun dimanifestasikan melalui peningkatan dalam jumlah perdagangan dua hala yang memberangsangkan sejak DPT diperkenalkan.

“Jepun kini merupakan rakan dagang keempat terbesar dan menjadi antara sumber pelaburan asing utama bagi Malaysia,” katanya.