- Iklan -
Berita

Laporan dedahkan puluhan firma Singapura terlibat bekal senjata kepada junta Myanmar

Justice for Myanmar berkata 38 syarikat di Singapura mempunyai kaitan dengan 78 syarikat yang berpangkalan di Myanmar di mana ia menjadi perantara dengan pihak junta.

Our Regional Correspondent
3 minit bacaan
Kongsi
Anggota tentera menyertai perarakan Hari Pasukan Bersenjata di Naypitaw, Myanmar pada 27 Mac 2021. Gambar: Reuters
Anggota tentera menyertai perarakan Hari Pasukan Bersenjata di Naypitaw, Myanmar pada 27 Mac 2021. Gambar: Reuters

Puluhan syarikat Singapura terlibat dalam perniagaan membekalkan senjata kepada tentera Myanmar ketika junta menjalankan kempen pembunuhan beramai-ramai terhadap pelarian Rohingya selain tindakan ganas kepada aktivis demokrasi sejak rampasan kuasa tahun lalu, menurut laporan terperinci dikeluarkan sebuah organisasi.

Justice for Myanmar (JFM) berkata pihaknya mengenal pasti 116 syarikat menjadi perantara bagi pembekalan senjata dan kelengkapan bernilai jutaan dolar kepada tentera Myanmar, termasuk pembekalan yang dijalankan sejak rampasan kuasa Februari 2021 di mana ia menyaksikan  kerajaan yang dipilih secara demokratik tumbang.

JFM berkata 27 daripada syarikat itu  terlibat dalam pembekalan senjata kepada Myanmar sejak 2017, di mana junta tentera menjalankan pembunuhan beramai-ramai secara sistematik terhadap masyarakat Rohingya dengan bertindak membakar perkampungan mereka sehingga mencetuskan krisis pelarian terbesar di dunia.

"Mereka bersubahat dalam jenayah kejam tentera dan mesti dihalang daripada meneruskan perniagaan dengan tentera," kata JFM, yang sebelum ini pernah mendedahkan kerajaan dan perniagaan di Asia Tenggara yang dikatakan “membiayai pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat Rohingya dan kempen keganasan junta ketika ini terhadap rakyat Myanmar".

Penemuan terperinci itu dikatakan diperolehi melalui beberapa dokumen rasmi yang dibocorkan, di mana JFM berkata 38 syarikat di Singapura mempunyai kaitan dengan 78 syarikat broker tentera berpangkalan di Myanmar.

JFM turut menambah penemuan tersebut menjadi bukti tambahan bahawa republik itu "bersubahat" dalam jenayah antarabangsa pihak junta".

"Singapura sudah lama dikenali sebagai hab kewangan dan perdagangan bagi junta tentera Myanmar dan hal ini secara jelas mengancam jutaan nyawa rakyat Myanmar. 

“Sebagai anggota Asean, Singapura mempunyai peranan penting dalam menyelesaikan krisis Myanmar, " katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia global menuduh tentera Myanmar melakukan kempen pembersihan etnik yang sistematik di mana ia menyasarkan kumpulan minoriti, terutama masyarakat Rohingya.

Sejak 2017, lebih sejuta pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan negara Asean lain, menjadikannya sebagai salah satu krisis pelarian terbesar di dunia. 

Puluhan ribu lagi pelarian Rohingya turut dianggarkan terbunuh ketika tentera menyertai kempen keganasan kumpulan pelampau bagi menghalau minoriti Islam di negara itu.

Menurut JFM, sejak rampasan kuasa tahun lalu, di mana ia mengembalikan kuasa jeneral tentera dalam pentadbiran politik, serangan udara dan serbuan yang memusnahkan perkampungan Rohingya secara sistematik menyebabkan lebih 800,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Bulan lalu, Washington mengkritik  Asean kerana gagal mengambil pendirian yang lebih tegas sebagai tindak balas terhadap situasi di Myanmar, mengatakan pendekatan rantau yang menggunakan pendekatan dialog rundingan tidak berjaya sekali gus menyebabkan penindasan masih berterusan di negara itu.

“Malangnya, saya fikir boleh boleh dikatakan kita tidak melihat wujud sebarang perkembangan yang positif. Sebaliknya, kita terus melihat penindasan ke atas rakyat Burma yang terus menjasi mangsa keganasan rejim," kata Setiausaha Negara AS Antony Blinken ketika lawatannya ke Thailand baru-baru ini.

Dalam laporan terbarunya, JFM  membahagikan syarikat-syarikat yang terlibat dalam perdagangan senjata dengan pihak junta kepada tiga kategori: syarikat yang mempunyai perniagaan dengan tentera Myanmar sejak rampasan kuasa 2021; syarikat yang terlibat susulan genosid terhadap masyarakat Rohingya dari 2017 atau selepasnya; dan syarikat yang menjalankan perniagaan dari 2015-2016.

Kebanyakan syarikat yang dinamakan  itu juga dikatakan mempunyai hubungan dengan Israel, Rusia, Belarus dan Jerman.

Menurutnya, salah satu syarikat itu adalah Venture Sky International Ltd yang berpangkalan di Singapura, di mana ia membekalkan alat ganti pesawat kepada tentera Myanmar secara terus.

“Syarikat itu mempunyai sekurang-kurangnya 12 kontrak dengan Tentera Udara Myanmar bagi menyediakan alat ganti pesawat hanya pada 2016.

“Yang paling menarik perhatian, ini adalah tahun yang sama syarikat itu ditubuhkan, menunjukkan bahawa syarikat itu berkemungkinan ditubuhkan sebagai perantara bagi tentera Myanmar di tengah-tengah sekatan yang dikenakan terhadap Myanmar ketika itu,” tambahnya.