- Iklan -
Berita

Penyakit Parkinson sedang menjadi ‘pandemik’, kata pakar kesihatan

Walaupun kebiasaannya penyakit Parkinson dialami orang tua, namun faktor genetik boleh menyebabkan ia turut dialami pesakit yang lebih muda.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang warga emas duduk di jendela memerhatikan pemandangan di perumahan kos rendah di Kuala Lumpur. Walaupun usia tua biasanya menjadi punca penyakit Parkinson, namun, faktor seperti genetik dan pencemaran juga boleh menjadi punca penyakit itu.
Seorang warga emas duduk di jendela memerhatikan pemandangan di perumahan kos rendah di Kuala Lumpur. Walaupun usia tua biasanya menjadi punca penyakit Parkinson, namun, faktor seperti genetik dan pencemaran juga boleh menjadi punca penyakit itu.

Pakar kesihatan tempatan yang mengkaji mengenai penyakit Parkinson memberi amaran peningkatan kes penyakit itu di Malaysia yang disifatkan sebagai “pandemik”.

Walaupun istilah pandemik kebiasaannya merujuk kepada penyebaran penyakit berjangkit, kes penyakit Parkinson yang tidak bersifat berjangkit semakin membimbangkan.

Dr Lim Shen Yang yang juga perunding kanan neurologi Pusat Kesihatan Universiti Malaya, dan  Dr Tan Ai Huey baru-baru ini menyumbangkan artikel dalam sebuah penerbitan jurnal antarabangsa berprestij berhubung penyakit itu.

Artikel mereka menjadi isu muka depan Nature Reviews Neurology edisi Ogos mengenai hubung kait paksi perut-otak (gut-brain axis) dengan masalah Parkinson.

Dalam satu penerbitan lain, masalah neurologikal dilaporkan menjadi penyebab nombor satu kecacatan di dunia, yang mana penyakit Parkinson merupakan penyakit yang paling tinggi direkodkan.

Lim berkata tiada data epidemiologikal yang spesifik bagi menentukan jumlah kes sebenar pesakit Parkinson.

Namun katanya, Malaysia mungkin cenderung mengikut trend yang dilihat di negara-negara lain yang mana kes Parkinson meningkat sejak dua dekad lalu.

"Sebahagianya berpunca daripada penuaan populasi, namun terdapat faktor lain seperti pencemaran alam,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Faktor genetik juga memainkan peranan terutama dalam pesakit yang lebih muda, dan kita mendapati contoh pesakit Melayu dan Cina yang muda mempunyai mutasi dalam genetik tertentu yang menyumbang kepada kepada Parkinson," katanya.

Dalam satu laporan, jumlah pesakit meningkat sekali ganda kepada enam juta dari 1990 hingga 2015.

Angka ini dijangka terus meningkat kepada 12 juta  di seluruh dunia menjelang 2040 ekoran penuaan.

Malaysia dijangka menjadi negara tua pada 2030, mengikut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ini bermakna negara bakal mempunyai 15% penduduk berusia 60 tahun ke atas.

Kajian sebelum ini mendapati warga tua di Malaysia akan meningkat daripada 7% kepada 14% dalam masa 28 tahun.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) baru-baru ini mengeluarkan taklimat teknikal mengenai penyakit Parkinson yang mana ia menyatakan keperluan maklum balas kesihatan awam yang segera amat diperlukan.

WHO turut mendapatkan pandangan Lim untuk penerbitan jurnal kesihatan mereka.

Menurut Lim, WHO memfokuskan kepada penyakit Parkinson kerana kerajaan, sistem sosial dan kesihatan dunia secara umumnya kurang kelengkapan bagi mendepani peningkatan jumlah pesakit Parkinson.

"Sebagai satu contoh, Malaysia masih kekurangan pakar neurologi yang menyediakan penjagaan pakar kepada pesakit-pesakit ini, dengan hanya satu pakar neurologi untuk setiap 300,000 populasi, berbanding satu dalam 20,000 di Taiwan, Korea Selatan atau Jepun.

"Terdapat juga masalah fasiliti yang tidak mencukupi (rumah penjagaan) untuk penjagaan jangka masa panjang untuk pesakin yang sudah berada pada tahap serius," tambah Lim.

Penyakit Parkinson berlaku apabila sebahagian sel otak mula merosot apabila seseorang individu menginjak usia tua.

Antara gejala penyakit ini termasuklah menggeletar pada sebahagian tubuh, kaku pada anggota badan, pergerakan yang perlahan dan ketidakseimbangan postur.

Menurut Lim, selain masalah pergerakan, Parkinson turut membabitkan masalah yang tidak berkait pada pergerakan seperti penyakit lupa (dementia), perubahan sikap, masalah pundi kencing dan masalah tidur yang menambah kesengsaraan pesakit dan keluarga mereka.

Cabaran besar dalam mendepani masalah ini ialah kurangnya kesedaran terhadap penyakit Parkinson dan kesengsaraan yang dialami akibat penyakit itu.

Lim berkata ia mungkin kerana penyakit itu lebih banyak dialami oleh warga emas yang sudah tidak aktif dalam masyarakat.

Apa yang lebih membimbangkan, perkhidmatan klinikal untuk penyakit ini tidak menerima dana yang mencukupi.

"Jururawat dan pakar fisioterapi yang berkemahiran dalam penyakit Parkinson boleh dikatakan tiada di Malaysia, berbanding beberapa ribu yang ada di United Kingdom atau Netherlands," tambah Lim.

Dari perspektif pencegahan, tiada kesediaan untuk mengharamkan penggunaan kimia yang berkemungkinan tinggi menyumbang kepada penyakit itu.

Menurut Lim, Paraquat, sejenis bahan kimia toksik yang digunakan dalam baja tumbuh-tumbuhan, masih digunakan dalam sektor pertanian di Malaysia walaupun ia diharamkan oleh banyak negara lain.

Jelas terdapat keperluan untuk kesedaran dan kesediaan untuk mengakui sememangnya Parkinson merupakan krisis yang bakal tiba.

Kerajaan dan masyarakat perlu memulakan langkah dan rancangan bagi penjagaan lestari dari aspek sosial dan medikal untuk populasi yang semakin menua.

"Dalam bidang perubatan, pakar seperti neurologi, geriatrik, perubatan dalaman, keluarga dan penjagaan paliatif perlu ditekankan dengan membuka lebih ramai jawatan latihan yang tersedia di hospital universiti.

“Pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Penyakit Parkinson Malaysia memainkan peranan penting untuk ramai pesakit Parkinson sejak tiga ke empat dekad lalu," tambahnya.

Menurut laman sesawang Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom, ketika ini masih tiada rawatan yang menyembuhkan untuk penyakit Parkinson, walaupun ada rawatan yang mengurangkan gejala.

Lim menegaskan, kemajuan dalam penyelidikan rawatan sememangnya diperlukan.

Kerajaan Malaysia katanya membantu kemajuan saintifik menerusi skim geran Kajian Berimpak Tinggi (HIR).

"Industri mempunyai peranan penting dalam membantu hasil kemajuan saintifik ini tersedia pada kadar yang murah untuk masyarakat."