- Iklan -
Berita

Perbualan bersama Charles Yeo, penentang kerajaan Singapura dalam buangan

Dikenakan pelbagai pertuduhan, peguam 30-an itu bimbang tidak diberikan perbicaraan yang adil di republik itu.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Peguam hak asasi Charles Yeo yang kini berdepan pelbagai pertuduhan dan siasatan di republik Singapura bercakap dengan MalaysiaNow ketika menunggu permohonan suakanya diluluskan kerajaan UK.
Peguam hak asasi Charles Yeo yang kini berdepan pelbagai pertuduhan dan siasatan di republik Singapura bercakap dengan MalaysiaNow ketika menunggu permohonan suakanya diluluskan kerajaan UK.

Peguam hak asasi Singapura yang kini sedang memohon suaka politik di United Kingdom (UK), bertekad untuk terus mendedahkan segala salah laku dilakukan kerajaan yang dipimpin oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), meneruskan sejarah penentang parti itu yang memilih hidup dalam buangan.

Charles Yeo yang merupakan peguam banduan bilik akhir dan menarik kontroversi berhubung hantaran media sosialnya mengenai Kristian dan homofobia dikehendaki pihak berkuasa kerana melanggar syarat mahkamah berhubung kelulusannya untuk melakukan perjalanan ke luar negara.

Namun peguam  berusia 30-an itu berkata beliau meninggalkan Singapura kerana bimbang tidak akan menerima perbicaraan adil di mahkamah selepas pertuduhan yang dihadapinya dipercayai bermotifkan politik.

Pada Januari lalu, Yeo yang merupakan bekas pengerusi Parti Reformasi (RP) didakwa atas tuduhan menganggu pegawai polis dan menyakiti perasaan umat Kristian selepas memuat naik beberapa kenyataan di akaun media sosial beliau.

Selain itu, beliau juga sedang disiasat berhubung kes pecah amanah dan pemalsuan apabila pihak polis Singapura menerima laporan daripada tempat kerja lamanya iaitu Whitefield law Corporation.

Pada Julai Yeo diberi pelepasan dengan ikat jamin berjumlah S$10,000 untuk ke Vietnam atas urusan kerja bermula 27 hingga 30 Julai, namun beliau membuat keputusan untuk tidak kembali ke Singapura dan mencari suaka di UK.

"(Tuduhan) ini semua adalah mengarut,” kata Yeo dari UK kepada MalaysiaNow. 

“Saya sudah menjadi warga Singapura selama 30 tahun dan peguam sejak lima tahun lalu namun tidak ada aduan pernah difailkan terhadap saya.

“Namun selepas saya masuk pilihan raya, tiba-tiba sahaja banyak aduan terhadap saya,” katanya dan menyifatkan semua tuduhan terhadapnya sebagai "mengarut" dan bermotifkan politik akibat tindakannya yang sering mengkritik kerajaan Singapura.

Ia termasuklah tindakan beliau membantah hukuman gantung Singapura dan tugasnya dalam mewakili banduan bilik akhir.

Menjawab mengenai tuduhan berkaitan "menyakitkan hati umat Kristian", Yeo berkata, perbuatannya sebenarnya bukan mengkritik agama Kristian sebaliknya mengkritik tindakan "umat Kristian palsu”. 

“Mereka tuduh kerana saya tentang homofobia di Singapura, maka saya sudah lukakan hati penganut Kristian,” katanya.

"(Tuduhan) ini semua adalah mengarut. Saya sendiri adalah penganut Kristian dan saya mengkritik umat Kristian yang palsu.

"Saya berbuat demikian kerana Kristian adalah agama yang membela nasib golongan miskin dan menyayangi mereka yang kurang bernasib baik."

Tiga daripada pertuduhan menyakiti penganut agama adalah setengah daripada jumlah keseluruhan pertuduhan dan siasatan yang dijalankan terhadap beliau.

Beliau kini berdepan “lima hingga enam pertuduhan mahkamah,” kata Yeo termasuk pecah amanah dan pemalsuan melibatkan S$100,000.

Yeo menyifatkan ini sebagai satu perkara yang lebih serius memandangkan hukuman maksimum berkaitan kesalahan ini boleh mengakibatkan hukuman sehingga 20 tahun penjara.

Yeo merupakan salah seorang pengkritik kerajaan PAP yang meneruskan sejarah pengkritik lain di mana mereka melarikan diri dari Singapura ekoran pertuduhan yang dikenakan kerajaan bagi menutup mulut mereka.

Di bawah pentadbiran Lee Kuan Yew, bapa kepada Perdana Menteri Singapura sekarang Lee Hsien Leong, aktivis dan pemimpin pembangkang sering disaman muflis dan dituduh terlibat dalam konspirasi komunis.

Mereka termasuk aktivis pembangkang terkemuka seperti JB Jeyaretnam, Chee Soon Juan dan Chia Thye Poh.

Mengulas lanjut, Yeo berpandangan beliau juga menjadi sasaran politik apabila mempunyai kaitan dengan peguam terkemuka M Ravi, yang lantang berkempen supaya hukuman mati dimansuhkan.

Yeo turut membantu Ravi dalam membela banduan warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam - yang menjalani hukuman gantung sampai mati pada April lalu, di mana ia mengundang kecaman antarabangsa terhadap Singapura yang berkeras menggunakan hukuman mati bagi kesalahan dadah.

Nagaenthran yang disabitkan bersalah menyeludup heroin tetap digantung walaupun didiagnosis sebagai orang kurang upaya (OKU).

Ia juga turut dikaitkan dengan apa yang disifatkan sebagai suasana ketakutan dalam kalangan pengamal undang-undang di republik itu yang enggan mewakili banduan bilik akhir kerana bimbang tindakan balas oleh peguam negara.

"Kerajaan mahu menghalang banduan akhir untuk diwakili peguam. 

“Sebab itu mereka terus memberi tekanan kepada kami.”

Singapura menjalankan 10 hukuman dalam tempoh empat bulan, rekod yang hanya dapat ditandingi oleh junta Myanmar yang turut menjalankan hukuman yang sama terhadap aktivis demokrasinya.

Kerajaan Singapura turut tidak mempedulikan kecaman dan tekanan antarabangsa, mempertahankan hukuman matinya berjaya mencegah jenayah berkait dadah.

Yeo bagaimanapun menegaskan beliau tidak membantah sepenuhnya pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun merasakan ia dilaksanakan secara tidak adil kerana wujud elemen diskriminasi.

“Kebanyakan individu yang dikenakan hukuman gantung sampai mati adalah Melayu dan India,” kata Yeo yang mewakili dua OKU yang disabitkan kesalahan menyeludup dadah termasuk Roslan Bakar dan warga Malaysia Pausi Jefridin di mana pelaksanaan hukuman terhadap mereka mendapat perintah tangguh oleh presiden.

"Ini digunakan oleh kerajaan bagi memastikan golongan minoriti terus takut dan akur.

"Pendirian saya ialah hukuman ini tidak wajar dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan akibat terdesak," ujarnya.

Ditanya mengenai masa depannya selepas meninggalkan Singapura, Yeo berkata tumpuan utamanya pada masa ini adalah memohon suaka serta menetap di UK dan proses ini dijangka mengambil masa yang lama.

"Bagaimanapun, saya akan terus mendedahkan sikap hipokrit dan ideologi fasis ditunjukkan kerajaan Singapura.

"Saya akan terus membantu parti dan menghulurkan segala sumber yang saya ada tidak kira di mana saya berada untuk mendedahkan PAP," tambahnya.