- Iklan -
Berita

Semua kegiatan yang menjejaskan Tasik Chini dihentikan, kata menteri

Ia demi memastikan Tasik Chini dapat dipulihkan semula sebagai sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail seorang lelaki Orang Asli sedang memancing ikan di kawasan paya di Tasik Chini, Pahang pada Jun 2021.
Gambar fail seorang lelaki Orang Asli sedang memancing ikan di kawasan paya di Tasik Chini, Pahang pada Jun 2021.

Sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan Tasik Chini, Pahang termasuk kelulusan baru untuk pengambilan pasir, mineral atau sebagainya telah dihentikan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata arahan tegas itu dikeluarkan untuk memastikan Tasik Chini dapat dipelihara dan dipulihara semula untuk mengekalkannya sebagai sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

Katanya beberapa tindakan telah diambil oleh kerajaan persekutuan mahupun negeri untuk memastikan status Tasik Chini tidak dilucutkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

“Kita telah diberikan tempoh masa oleh pihak Unesco untuk memulihkan Tasik Chini sekali gus kawasan berkenaan dapat dikekalkan sebagai sebahagian WNBR dengan beberapa tindakan telah dilakukan. 

“Antaranya, segala kegiatan yang boleh menjejaskan di Tasik Chini tidak ada lagi apa-apa kelulusan baharu untuk urusan mengambil pasir bagi membangunkan kawasan itu termasuk untuk mengambil mineral sudah tidak ada di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan olahraga di Sekolah Kebangsaan (SK) Islah Kota Bharu hari ini, yang turut dihadiri oleh Guru Besar SK Islah Mohamad Shaufi Abdullah.

Media sebelum ini melaporkan, hasil tinjauan Unesco yang disiarkan mengenai Tasik Chini baru-baru ini mendapati ia tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan.

Menurut tinjauan berkala pertama itu, Tasik Chini itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada WNBR sekali gus berisiko dilucutkan statusnya sebagai rizab biosfera.

Unesco bagaimanapun memberi tempoh kepada Malaysia hingga 30 September ini untuk memaklumkan badan dunia itu mengenai perancangan bagi merawat dan memulihkan Tasik Chini serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.