- Iklan -
Berita

Laporan audit dapati projek pembinaan sekolah kurang cekap

Sampel audit tersebut meliputi 19 projek pembinaan sekolah baru dalam tempoh 2016 hingga 2021.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Guru memberikan penerangan kepada murid di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Ampang, Kuala Lumpur.
Guru memberikan penerangan kepada murid di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Ampang, Kuala Lumpur.

Pengurusan projek pembinaan sekolah didapati kurang cekap dan kurang berkesan berdasarkan skop dan sampel audit projek meliputi 19 projek pembinaan sekolah baru dalam tempoh 2016 hingga 2021 di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 1, perkara itu dikesan kerana berlaku kelemahan di peringkat perancangan, prapelaksanaan dan pelaksanaan projek oleh Kementerian Pendidikan (KPM), perunding dan kontraktor.

“Selain itu, masalah koordinasi dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan syarikat utiliti serta isu ketersediaan tapak projek turut menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek.

“Keadaan ini menyebabkan objektif projek untuk menampung lebihan murid melalui pembinaan sekolah baru dan ke arah sekolah satu sesi sukar dicapai,” menurut laporan tersebut.

Pengauditan yang dijalankan adalah bagi menilai sama ada pengurusan projek pembinaan sekolah telah dirancang dan dilaksanakan secara berhemat, cekap dan berkesan bagi mencapai objektif menampung lebihan murid dan ke arah menjadikan sekolah satu sesi.

Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan perkara yang sama tidak berulang pada masa hadapan, pihak audit menyarankan agar KPM melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak yang terlibat di peringkat persekutuan dan negeri serta memuktamadkan tanah tapak projek sebelum projek diangkat untuk kelulusan Unit Perancang Ekonomi (UPE) bagi mengurangkan risiko kelewatan pelaksanaan projek.

“KPM hendaklah memastikan tanah yang diserahkan sebagai rizab pendidikan oleh pemaju adalah tanah yang sesuai untuk pembinaan dan tidak memerlukan kerja tanah tambahan yang kompleks.

“KPM hendaklah memperkemaskan prosedur dan proses pelaksanaan projek pembinaan sekolah supaya pengurusan lebih teratur dan mematuhi semua peraturan semasa yang berkuat kuasa dan KPM juga hendaklah menjalankan kajian semula untuk mengenal pasti keperluan semasa skop pembinaan sekolah bagi projek yang lewat dimulakan pelaksanaannya,” menurut laporan tersebut.