- Iklan -
Berita

Kini, RUU kawalan tembakau dirujuk ke PSC

RUU itu dirujuk ke jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk membuat syor penambahbaikan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
RUU kerajaan untuk melarang tabiat rokok terhadap mereka yang lahir selepas 2007 kini dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk penambahbaikan. Gambar: Bernama
RUU kerajaan untuk melarang tabiat rokok terhadap mereka yang lahir selepas 2007 kini dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk penambahbaikan. Gambar: Bernama

Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke jawatankuasa pilihan khas (PSC) Parlimen untuk membuat syor-syor penambahbaikan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Jawatankuasa itu dianggotai 13 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata usul itu dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 54(2) bagi menyerahkan rang undang-undang tersebut kepada jawatankuasa berkenaan.

Beliau berkata ini bagi membolehkan jawatankuasa itu membuat syor-syor untuk meneliti bahagian penguatkuasaan dalam RUU tersebut dan mencadangkan sebarang penambahbaikan sekiranya perlu tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

Pada masa sama, meneliti fasal berhubung penalti bagi kesalahan, cadangan penambahbaikan oleh ahli Dewan Rakyat dan menyediakan suatu penyata mengandungi cadangan penambahbaikan bagi tujuan kawal selia produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok dalam tempoh sebulan.

“Jawatankuasa pilihan khas boleh melanjutkan tempoh ini sekiranya perlu tetapi hendaklah tidak melebihi tarikh hari pertama persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang akan datang,” katanya ketika membentangkan usul itu.

Khairy berkata jawatankuasa itu boleh menjemput mana-mana pihak seperti ahli Parlimen, pakar perundangan dan perlembagaan, badan bukan berkepentingan dan masyarakat madani serta individu lain untuk hadir dalam persidangannya dari semasa ke semasa.

RUU yang turut dikenali sebagai generasi penamat rokok (GEG) itu dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat pada 27 Julai dan pembacaan kali kedua dibuat pada 1 Ogos.

Jika diluluskan, RUU itu akan menjenayahkan penggunaan mana-mana produk tembakau atau produk pengganti tembakau terhadap mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Ia juga melarang pemilikan dan penggunaan alat merokok tembakau dan bahan merokok, dengan pesalah boleh didenda sehingga RM5,000.

Bagaimanapun, jumlah denda itu kemudiannya dikurangkan kepada RM500 dan perintah khidmat masyarakat.