- Iklan -
Berita

Jenazah Khalid Ibrahim selamat dikebumikan

Jenazah beliau disemadikan di Makam Diraja Shah Alam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Jenazah bekas menteri besar Khalid Ibrahim selesai disemadikan pada pukul 2.30 petang di Makam Diraja Shah Alam. Gambar: Facebook
Jenazah bekas menteri besar Khalid Ibrahim selesai disemadikan pada pukul 2.30 petang di Makam Diraja Shah Alam. Gambar: Facebook

Jenazah bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam kira-kira 2.30 petang tadi. 

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke makam berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir. 

Jenazah sebelum itu disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat zohor dengan dipimpin oleh imam besar masjid tersebut Muhammad Farhan Wijaya dan disertai ratusan jemaah termasuk ahli keluarga dan sahabat handai. 

Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari serta beberapa ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Parlimen Selangor.

Terdahulu, jenazah menteri besar ke-14 Selangor itu tiba di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara, kira-kira 6 pagi tadi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Khalid meninggal dunia pada 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Khalid, 76, telah dimasukkan ke hospital sejak 23 April lepas akibat jangkitan kuman pada injap jantung.