- Iklan -
Berita

Pawagam komuniti sebagai alternatif di Kelantan

Pawagam komersial yang kini hanya tinggal memori di Kelantan, pusat komuniti boleh mengisi jurang dan menyumbang kepada pembangunan industri animasi dan filem di negeri itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Peminat duduk di kerusi mereka dalam pawagam di Kuala Lumpur bagi menonton filem 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan'. Aktiviti menonton filem di pawagam adalah satu aktiviti biasa namun tidak di Kelantan.
Peminat duduk di kerusi mereka dalam pawagam di Kuala Lumpur bagi menonton filem 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan'. Aktiviti menonton filem di pawagam adalah satu aktiviti biasa namun tidak di Kelantan.

Tiada yang dapat menandingi bau mentega dari bertih jagung panas sambil beratur panjang menunggu giliran masuk ke panggung wayang pada hujung minggu.

Riuh rendah suara kanak-kanak dan pemandangan kumpulan anak-anak muda bergambar di depan poster filem sudah tidak asing lagi setiap kali berkunjung ke pawagam yang selalunya berada di dalam pusat membeli belah mega.

Itulah rutin kegemaran hampir seluruh rakyat Malaysia di semua peringkat umur yang memilih untuk menonton filem-filem terkini yang ditayangkan di pawagam berdekatan.

Bagaimanapun, rakyat Kelantan tidak  mempunyai akses dan peluang yang sama untuk merasai pengalaman tersebut.

Sejak tiga dekad lalu, rakyat di Kelantan tidak boleh menonton wayang di negeri sendiri disebabkan polisi tegas kerajaan negeri yang tidak mahukan unsur hiburan berlebihan.

Sekitar tahun 1990-an, Kelantan mempunyai empat panggung wayang komersial terkemuka iaitu Lido, Odean, Rex dan Meena.

Manakala di daerah Pasir Putih terdapat panggung wayang Rama.

Pawagam Lido merupakan panggung wayang terakhir beroperasi di negeri itu sebelum dirobohkan pada tahun 1997.

Tindakan itu disebabkan arahan kerajaan negeri pimpinan PAS yang mempunyai kegusaran terhadap kewujudan pawagam boleh membawa aktiviti dan kegiatan yang tidak bermoral di negeri tersebut.

Kebimbangan itu menyebabkan kunjungan ke pawagam mulai menurun kerana amaran ketat yang diberikan oleh kerajaan negeri pada masa itu sehingga banyak syarikat pawagam bertindak menutupkan operasi sepenuhnya di Kelantan.

Tiga dekad selepas itu, terdapat usaha untuk membangunkan pawagam komuniti sebagai salah satu alternatif agar rakyat Kelantan boleh menonton filem selain di pawagam komersial.

Pawagam komuniti adalah pusat tayangan filem dan teater yang dibangunkan oleh mana-mana badan bukan berkepentingan dan sukarelawan termasuk penggiat seni.

Bekas ketua pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Kamil Othman antara individu yang berbincang dengan kerajaan negeri untuk merealisasikan perkara tersebut pada tahun 2015.

Bercerita mengenainya, Kamil berkata sejak peringkat awal perbincangan, beliau sudah dapat mengenalpasti reaksi kerajaan negeri yang negatif terhadap pembangunan sinema di Kelantan atas alasan ianya membawa maksiat atau keburukan.

Meskipun, penjelasan mengenai kebaikan sinema seperti ruang menyedikan ilmu pengetahuan baru, hiburan, pendidikan dan lain-lain turut dibentangkan tetapi kerajaan negeri masih berpandangan sedemikian.

“Sebagai contoh nak tayangkan di padang sekiranya ada padang di kampung-kampung. Tapi mereka awal-awal nampak tak minat sebab fikir di padang boleh berlaku maksiat.

“Kalau fikiran macam ini, habislah, Jika begitu, pen juga boleh diharamkan kerana menulis kisah atau novel-novel lucah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kamil ditamatkan kontrak di Finas pada November 2016.

Ketika itu, proses penubuhan pawagam-pawagam komuniti di negeri itu sudah berada di peringkat akhir dan kertas putih pelaksanaannya sudah pun disiapkan.

Bagaimanapun, kata Kamil, selepas beliau meninggalkan badan kerajaan itu, banyak dasar dan polisi yang dibangunkannya menjadi “basi" disebabkan tiada pengganti jawatan selama empat bulan.

Kemajuan teknologi

Menurut Kamil, kegusaran pihak kerajaan negeri boleh diatasi dengan kewujudan teknologi masa kini.

Tayangan filem dan video di pawagam komuniti tidak perlu lagi bergantung kepada projektor dan skrin layar sebaliknya menggunakan televisyen jenis LED.

Dengan cara ini, tempat tayangan tidak perlu bergelap dan para penonton boleh menikmati siaran seperti menonton kaca televisyen di rumah.

“Apa yang patut kerajaan negeri fokus sekarang ini adalah apa bahan yang ingin ditayangkan? Kalau mereka rasa tidak sesuai, mereka boleh ubah sebab mereka berhak tentukan kandungan itu sendiri.”  

Idea penubuhan pawagam komuniti sudah tidak asing lagi di negara-negara luar seperti United Kingdom dan Filipina, sebagai negara-negara yang dilihat aktif membuat tayangan di luar pawagam komersial.

Di United Kingdom (UK), British Federation of Film Societies (BFFS) menggunakan pawagam komuniti untuk tayangan dokumentari dan filem pemenang anugerah.

Tayangan juga dilakukan untuk lokaliti rakyat berpendapatan rendah serta rumah-rumah kebajikan bagi tujuan amal di mana kebanyakan bayaran dan kos tayangan ditaja oleh badan korporat.

Di Filipina, Majlis Pembangunan Filem Filipina (FDCP) pula membangunkan pawagam komuniti di seluruh negara itu selepas mengenal pasti trend rakyat yang tidak gemar menonton filem tempatan.

Gerakan pawagam komuniti bermula dengan menayangkan filem-filem tempatan untuk menarik perhatian penonton kepada industri kreatif di Filipina.

Kamil berkata, dengan wujudnya pawagam komuniti, bakat-bakat baru boleh dicungkil melalui pementasan teater, puisi dan persembahan nyanyian yang turut diadakan di lokasi yang sama.

Bukan itu sahaja, tenaga berkemahiran seperti para pelajar animasi dan perfileman di dalam negeri Kelantan boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk menghasilkan konten audio dan video yang berguna untuk para penonton.

"Contohnya, kisah sejarah kemasukan tentera Jepun ke Malaya, masuk melalui jalan darat di Kota Bharu guna basikal.

"Animasikanlah fakta sejarah itu untuk tontonan rakyat di sana. Kita juga ada kisah Tok Janggut, teaterkan kisah dia. Banyak lagi yang boleh dibuat," katanya.

Seorang pengarah filem, Al Jafree Md Yusop yang turut aktif menyokong usaha tersebut berkata pembangunan sinema amat penting bagi pembangunan pemikiran masyarakat.

Sekiranya pemimpin kerajaan negeri Kelantan menyedari mengenai perkara itu sudah tentu mereka tidak menutup jalan untuk membolehkan rakyat menonton wayang.

“Tayang Mat Kilau boleh pula di Kelantan? Itu pun bentuk sinema juga, kenapa boleh tayang Mat Kilau tapi tayang filem-filem lain tidak boleh?” katanya kepada MalaysiaNow.

Ketika ditanya, siapakah yang akan terlibat sekiranya penubuhan pawagam komuniti dapat direalisasikan di Malaysia, Jafree berkata gerakan pawagam komuniti sudah wujud dalam negara di beberapa lokasi seperti di Johor, Melaka dan Ipoh, Perak.

Malah, katanya ia juga mudah untuk digerakkan dengan memanggil mereka yang berpengalaman mengendalikan pawagam komuniti untuk mendirikan pusat tayangan baru yang ingin dibina oleh Finas sebelum ini.

“Masa saya buat telemovie Melur vs Rajawali, filem itu pertama kali disiarkan di sinema komuniti dipanggil Panggung Pungguk. Susun aturnya adalah di tingkat atas rumah kedai, susun kerusi, satu projektor, satu skrin dan speaker.

“Ini dibuat oleh mereka sendiri, bayangkan kalau ada sokongan daripada Finas. Mungkin keadaannya lebih selesa dan kondusif.”