- Iklan -
Berita

Pelaksana hukuman gantung sibuk menjelang Hari Kebangsaan Singapura

Republik itu sedang melakukan persiapan melaksanakan hukuman mati terhadap empat banduan minggu depan, jumlah sama dengan pelaksanaan hukuman mati di Myanmar baru-baru ini.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai mengangkat plakad dan lampu ketika acara nyalaan lilin kepada Nagaenthran K Dharmalingam yang dihukum bunuh kerana menyeludup heroin ke Singapura di Speakers' Corner pada 25 April, dua hari sebelum dia menjalani hukuman mati. Gambar: AFP
Orang ramai mengangkat plakad dan lampu ketika acara nyalaan lilin kepada Nagaenthran K Dharmalingam yang dihukum bunuh kerana menyeludup heroin ke Singapura di Speakers' Corner pada 25 April, dua hari sebelum dia menjalani hukuman mati. Gambar: AFP

Singapura akan melaksanakan hukuman gantung sampai mati ke atas empat banduan minggu depan, menyamai rekod pelaksanaan hukuman mati yang dijalankan junta tentera Myanmar terhadap empat aktivis demokrasi di negara itu.

Difahamkan dua hukuman mati secara serentak dijadualkan pada 2 dan 5 Ogos depan, menjelang sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang pertama selepas pandemik.

MalaysiaNow turut difahamkan salah seorang dari empat banduan tersebut adalah warga Malaysia yang merupakan antara 17 banduan bilik akhir yang terlibat dalam saman terhadap kerajaan Singapura, menuduh mereka mengamalkan diskriminasi kaum dalam menjalankan pendakwaan terhadap mereka.

Seorang lagi rakan plaintif yang akan dihukum gantung ialah Abdul Rahim Shapiee, seorang lelaki Melayu Singapura berusia 45 tahun.

Setakat ini, republik itu menggantung mati dua daripada plaintif saman tersebut, di mana ia dibatalkan mahkamah tahun lalu, sementara peguam yang mewakili mereka dikenakan denda atas tuduhan "menyalahgunakan proses mahkamah”.

Pejuang hak asasi manusia Kokila Annamalai berkata, keluarga Abdul Rahim dimaklumkan mengenai pelaksanaan hukuman itu pagi tadi.

"Kakaknya, yang menerima panggilan ketika berada di tempat kerja, bergegas menemuinya selepas solat Jumaat hari ini," kata aktivis anti hukuman mati itu dalam satu bebenang Twitter.

“Kakaknya adalah salah seorang ahli Family Support Network kami yang paling aktif, dan sering memberikan khidmat penjagaan, keselesaan dan sokongan kepada ahli keluarga banduan bilik akhir yang lain. Hari ini, dunianya seakan hancur.”

Difahamkan, keluarga tiga banduan lain masih enggan nama mereka didedahkan.

Kesemua mereka disabitkan bersalah atas pertuduhan di bawah undang-undang dadah yang kejam di Singapura, di mana kecaman terhadapnya semakin meningkat daripada komuniti tempatan dan antarabangsa.

Peguam dan aktivis turut menegaskan mereka yang dihukum mati di bawah undang-undang itu kebanyakannya adalah keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin, sementara sebahagian besar dalang utama sindiket dadah terus terlepas bebas.

Bagaimanapun, mahkamah Singapura tetap menolak hujah sedemikian.

Kekerapan pelaksanaan hukuman mati di negara itu turut menyebabkan Amnesty International menggesa masyarakat antarabangsa supaya tekanan terus ditingkatkan terhadap Singapura.

“Daripada menjadi pencegah unik terhadap jenayah, pelaksanaan hukuman mati itu hanya menunjukkan betapa pihak berkuasa Singapura tidak menghiraukan hak asasi manusia dan hak untuk hidup," kata kumpulan hak asasi antarabangsa itu pada 22 Julai, hari di mana Nazeri Lajim, yang merupakan warga Singapura berusia 64 tahun menjalani hukum gantungnya.

Nazeri terjebak dengan ketagihan dadah sejak berusia 14 tahun.

Sehari sebelum pelaksanaan hukumannya, Nazeri mewakili diri sendiri dalam rayuan akhir kepada hakim untuk memberinya lebih masa berjumpa ahli keluarga sebelum menjalani hukuman.

Dia tidak berjaya mendapatkan peguam bagi mewakilinya dalam rayuan itu ekoran suasana takut dalam kalangan pengamal undang-undang Singapura untuk mewakili banduan bilik akhir. 

Kerajaan Singapura diterajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) menolak gesaan supaya mengkaji semula hukuman terhadap pesalah dadah, selain terus mempertahankan undang-undangnya berkesan mengawal jenayah itu ketika  Malaysia mengumumkan ia akan memansuhkan hukuman mati mandatori.

Dalam tempoh tiga bulan sejak Februari lalu, Singapura melaksanakan enam hukuman gantung sampai mati, termasuk Nagaenthran K Dharmalingam. 

Nagaenthran adalah warga Malaysia yang didiagnosis mempunyai skor IQ rendah, menjadikan hukuman matinya tidak sah di bawah perjanjian antarabangsa dan perlembagaan Singapura sendiri.

Walaupun rayuan disuarakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan taikun syarikat penerbangan Britain Richard Branson supaya hukumannya diringankan, Nagaentran tetap dihukum gantung pada April lalu.