- Iklan -
Berita

Giliran negeri pinda undang-undang halang Adun lompat parti

Melaka dan Pulau Pinang telah menyatakan kesediaan untuk meminda perlembagaan negeri selepas RUU anti lompat parti diluluskan semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Dewan Undang Negeri Melaka bersidang dalam sebuah gambar fail. Gambar: Bernama
Ahli Dewan Undang Negeri Melaka bersidang dalam sebuah gambar fail. Gambar: Bernama

Susulan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti diluluskan di Dewan Rakyat semalam, beberapa negeri mungkin meminda perlembagaan negeri bagi menghalang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bertukar parti.

Melaka dan Pulau Pinang antara yang terawal mengumumkan kesediaan mereka dalam membawa peruntukan itu selaras dengan perubahan di peringkat persekutuan.

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata pelaksanaan undang-undang anti lompat parti adalah sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November tahun lalu.

"Saya sokong RUU berkenaan. Parlimen dah selesai... kita tunggu benda ini (RUU) dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Ada rangka masa yang diberikan kepada negeri-negeri untuk turut serta meminda rang undang-undang ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka, Sidang Dua, Penggal Ke-33 hari ini.

Di George Town, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang juga akan meminda perlembagaan negeri untuk menghalang Adun daripada bertukar parti.

Chow berkata beliau telah mengarahkan Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang untuk melihat dan membantu bagaimana ia dapat diselarikan dalam perkara tersebut.

Pulau Pinang mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri khas untuk melaksanakan pindaan yang perlu kepada Perlembagaan Negeri Pulau Pinang supaya ia dapat dibentangkan dalam masa terdekat iaitu pada September nanti, katanya kepada pemberita hari ini.

Rang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan melarang ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata 209 ahli Parlimen menyokong rang undang-undang itu manakala 11 ahli Parlimen tidak hadir semasa pengundian belah bahagi.