- Iklan -
Berita

Apandi sedia beri kerjasama siasatan 1MDB, SRC International

Beliau disiasat mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali memberi jaminan beliau akan bekerjasama dengan pihak polis berhubung siasatan terhadapnya selepas beberapa laporan polis dibuat terhadapnya.

"Tiada masalah. 

"Saya akan bagi kerjasama penuh," katanya ringkas kepada MalaysiaNow. 

Bukit Aman hari ini mengesahkan kertas siasatan dibuka terhadap Apandi selepas laporan dibuat. 

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan. 

"(Kes) disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman. Kes disiasat di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan dan siasatan masih berjalan," kata Noorsiah dalam kenyataan hari ini.

Seksyen 217 Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan penjawat awam yang mengingkari arahan undang-undang dengan niat hendak menyelamatkan orang daripada seksaan, atau harta daripada dirampas. 

Ia membawa keselahan penjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Laporan polis dibuat oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago sebelum ini yang memetik penghakiman 23 Mei lalu yang disampaikan oleh hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar dalam menolak saman fitnah yang difailkan oleh Apandi terhadap pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Hakim Azimah Omar mendapati Apandi menunjukkan sikap berminat dan tidak kisah terhadap kedaulatan undang-undang mengenai kes derma RM2.6 bilion membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak. 

Parti Pejuang turut membuat laporan polis terhadap Apandi. 

Pejuang membuat laporan polis berhubung peranan Apandi sebagai orang tengah antara kerajaan Malaysia dengan Low Taek Jho, atau Jho Low yang terlibat dalam skandal 1MDB. 

Sebelum ini, Apandi memberitahu dia hanya menjadi fasilitator kepada beberapa siri pertemuan antara peguam Jho Low dan Pejabat Peguam Negara. 

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga mahu Apandi disiasat atas peranannya dalam pertemuan itu. 

Jho Low, yang tidak diketahui lokasinya dilaporkan menawarkan sebanyak RM1.5 bilion untuk menyelesaikan kesnya.

Apandi, menurut Santiago, menyalahguna kuasa ketika menjadi peguam negara, membohong untuk melepaskan Najib daripada sebarang kesalahan. 

"Memandangkan Apandi menipu mengenai siasatan terhadap SRC International dan perbicaraan 1MDB untuk membebaskan Najib, fungsi peguam negara mesti dipisahkan daripada pendakwa raya bagi memastikan semak imbang dalam keputusan pendakwaan," katanya dalam satu kenyataan.