- Iklan -
Berita

Menteri-menteri luar Asean digesa angkat isu Rohingya

Duta PBB ke Myanmar Noeleen Heyzer menghargai peranan Malaysia yang menjadi tuan rumah terbesar kepada populasi Rohingya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menerima lawatan Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Myanmar, Noeleen Heyzer di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menerima lawatan Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Myanmar, Noeleen Heyzer di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Myanmar Noeleen Heyzer menggesa menteri-menteri luar Asean mengangkat isu Rohingya sebagai agenda utama mereka, selain turut menekankan keperluan pendidikan bagi masyarakat itu untuk cegah kemunculan "generasi yang ketinggalan".

Dalam satu kenyataan media pada Selasa semasa misi dua harinya ke Kuala Lumpur atas jemputan Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah, Noeleen turut menekankan mengenai kepentingan pekerjaan dan perlindungan yang sah untuk pekerja migran dan pelarian Myanmar di Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat dan kerajaan Malaysia kerana menjadi tuan rumah kepada populasi pelarian Rohingya terbesar di Asean, dan menyeru penyelesaian inovatif untuk kemelut Rohingya.

"Noeleen juga menghargai peranan penting setiausaha agung Asean dan Pasukan Sokongan Ad-Hoc sebagai sebahagian daripada komitmen Asean di Rakhine, menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean pada 3 Ogos," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia.

Beliau berkata Myanmar bertanggungjawab untuk menangani isu asas yang melibatkan Rohingya dan mewujudkan penyelesaian kekal untuk penghantaran pulang secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan bagi semua pelarian dan penduduk yang berpindah secara paksa.

"Mengiktiraf peranan penting wanita dalam komuniti dan dimensi konflik gender, Duta Khas Noeleen juga mahu memastikan penyelesaian yang diterajui Myanmar turut merangkumi suara dan kebimbangan wanita," menurut kenyataan itu.

“Kita tidak boleh membiarkan masyarakat Rohingya berterusan berasa mereka terpinggir dan dilupakan,” kata duta khas itu. Menurutnya mereka berhak untuk hidup secara bermaruah dan mesti mendapat sokongan dan perlindungan semua, termasuk masyarakat antarabangsa.

Menurut laman web UNHCR, setakat Januari tahun ini, Malaysia menerima kira-kira 181,000 pelarian dan pencari suaka setakat Januari 2022. Hampir 85% daripadanya berasal dari Myanmar, termasuk kira-kira 103,000 Rohingya yang melarikan diri dari negeri Rakhine.

Sementara itu, dalam sidang media bersama Saifuddin di Parlimen hari ini, Noeleen menegaskan bahawa beliau telah mencuba yang terbaik di atas kapasitinya sebagai utusan khas untuk memastikan isu kemanusiaan di Myanmar dapat dilaksanakan melalui Konsensus Lima Perkara.

Beliau menyifatkan krisis Myanmar berikutan rampasan kuasa tentera pada 1 Februari tahun lalu sebagai krisis pelbagai dimensi yang melemahkan institusi negara dan ekonomi, sambil menambah bahawa krisis itu telah menyebabkan 50% penduduk negara itu terjerumus ke dalam kancah kemiskinan.