- Iklan -
Berita

Tuntutan Sarawak untuk bina Malaysia, bukan berpisah, kata penganalisis

Mereka berkata Sarawak hanya berusaha untuk melindungi kepentingan negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan Dewan Undangan Negeri Sarawak dari udara yang terletak bersebelahan Jambatan Darul Hana di Waterfront, Kuching.
Pemandangan Dewan Undangan Negeri Sarawak dari udara yang terletak bersebelahan Jambatan Darul Hana di Waterfront, Kuching.

Penganalisis menolak kebimbangan yang mengatakan Sarawak mungkin bakal keluar daripada persekutuan Malaysia, selepas beberapa langkah diambil kerajaan negeri di mana ia dianggap sebagai sebahagian usaha mendapatkan kuasa autonomi yang lebih besar daripada kerajaan persekutuan.

Sarawak sudah lama menuntut pemulangan  semula hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Baru-baru ini, ia turut mengemukakan calon untuk mewakili negeri itu dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mengatakan langkah itu adalah demi memastikan jumlah peruntukan dana yang diberi kepada Sarawak adalah relevan, memandangkan saiz negerinya yang besar.

Walaupun langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri itu dilihat sebagai tekanan kepada kerajaan persekutuan bagi mendapatkan kuasa autonomi yang lebih besar, namun sejarawan  berkata langkah-langkah itu lebih berperanan sebagai peringatan kepada kerajaan berbanding usaha untuk berpisah daripada persekutuan.

“Sarawak tidak akan tinggalkan Malaysia," kata ahli sejarah Sarawak Sanib Said kepada MalaysiaNow.

Merujuk bekas ketua menteri Sarawak Adenan Satem, Sanib berkata Adenan sendiri dengan jelas mengatakan negeri itu tidak akan berpisah dengan persekutuan.

“Baik Malaysia yang dulu, Malaysia sekarang, dan akan terus selamanya Malaysia pada masa hadapan. 

"Menjadi sebahagian daripada persekutuan Malaysia adalah salah satu keputusan paling bijak Sarawak," tambahnya.

Sarawak bergabung dengan Sabah dan Singapura untuk membentuk persekutuan pada 16 September 1963 di mana ia disambut setiap tahun sebagai Hari Malaysia. 

Namun dua tahun selepas itu, Singapura meninggalkan Malaysia dan menjadi republik berdaulat pada Ogos 1965.

Sanib yang merupakan penyelidik Institut Pengajian Asia Timur di Unimas berkata tuntutan Sarawak bukan isu utama walaupun pemimpin negeri itu dilihat lantang berhubung hak-hak negeri di bawah MA63.

"Kita mesti melihat konteksnya dalam perkara ini," katanya. 

"Anda tidak boleh mentafsir MA63 dalam konteks sekarang, ketika negara ini sudah berjaya dan membangun. Anda mesti ingat bagaimana keadaan Sarawak ketika ia dimeterai.”

Beliau berkata Sarawak ketika itu lemah, kurang membangun dan terdedah kepada ancaman komunis.

"Itu lebih penting," tambahnya. 

"Dan kita patut bersyukur."

Suffian Mansor, seorang sejarawan dari Universiti Kebangsaan Malaysia turut bersetuju.

“Sarawak hanya menyuarakan tuntutan agar MA63 dipertahankan dan (mahu) pembangunan di negeri itu setanding dengan negeri-negeri lain di semenanjung,” katanya.

"Dua perkara ini adalah penting dan harus ditangani oleh kerajaan persekutuan."

Sanib berkata MA63 menetapkan terma dan syarat di mana Sarawak, Sabah dan Singapura bersetuju untuk menyertai persekutuan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata pemimpin hari ini tidak memahami perjanjian tersebut.

Mengulas cadangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan baru-baru ini supaya "Perjanjian Malaysia yang baru" dibuat, Sanib berkata negara memerlukan pemimpin yang boleh melihat punca di sebalik perbezaan dan kemudiannya bekerja untuk kebaikan bersama.

“Hubungan tegang antara kerajaan negeri dan persekutuan adalah sebahagian daripada isu kenegaraan.

"Ini adalah sebahagian daripada proses pembinaan negara yang sedang membesar," katanya sambil menambah Sarawak bukan satu-satunya negeri yang mempunyai "isu" dengan kerajaan persekutuan.

"Kelantan, Pulau Pinang, Johor pun ada isu sendiri. Yang penting duduk bincang, dan cari jalan tengah."

Dalam pada itu, pakar undang-undang Perlembagaan, Shad Saleem Faruqi berkata, cara terbaik untuk melakukannya ialah dengan meminda peruntukan Perlembagaan yang berkaitan supaya ia selaras dengan MA63.

Beliau berkata dengan berbuat demikian ia akan membolehkan tahap integrasi yang lebih tinggi antara Sabah, Sarawak dan kerajaan persekutuan.

“Tidak semua peruntukan MA63 dimasukkan ke dalam Akta Malaysia atau Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

"Perlembagaan yang perlu dipinda, bukan buat Perjanjian Malaysia yang baru, ia adalah cara perundangan terbaik bagi mengukuhkan hubungan dan menyelesaikan pertikaian."

Sementara itu, Suffian mencadangkan penelitian semula dibuat mengenai persoalan awal mengapa Malaysia ditubuhkan.

"Dari situ, kita boleh maju ke depan kepada perbincangan mengenai perkara-perkara yang perlu diperbaiki."

Suffian juga bersetuju apa yang dilihat seakan konflik bukanlah satu perkara yang luar biasa.

“Jalan membina negara bukan mudah,” katanya.