- Iklan -
Berita

Sarawak jelaskan mengapa mahu wakil dalam LHDN

Menteri Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia akan membolehkan kerajaan negeri membuat kira-kira berapa jumlah hasil yang boleh dituntutnya.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Sarawak telah mengemukakan calon untuk mewakili negeri itu dalam lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri di peringkat persekutuan. Gambar: Bernama
Sarawak telah mengemukakan calon untuk mewakili negeri itu dalam lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri di peringkat persekutuan. Gambar: Bernama

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini berkata wakil negeri itu dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di peringkat persekutuan akan membolehkan kerajaan Sarawak menuntut pemulangan bahagian hasil yang dikutip dari negeri itu.

Beliau berkata wakil negeri yang menduduki kerusi dalam lembaga pengarah LHDN adalah untuk memastikan peruntukan dana yang berpatutan diberikan kepada Sarawak mengikut saiz negeri.

“Selama ini, kami sudah membuat kutipan hasil yang banyak di Sarawak, sama seperti negeri-negeri lain di Malaysia.

"Syarikat dan individu bayar cukai mereka, dan cukai ini semuanya pergi ke Kementerian Kewangan. Itulah salah satu sebabnya kami mahu ada wakil dalam lembaga pengarah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Awal minggu ini, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata beliau mengemukakan calon untuk mewakili negeri itu dalam lembaga pengarah LHDN.

Menurut Karim, walaupun Putrajaya bertanggungjawab menyediakan geran khas untuk Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri mahu geran yang diberikan kepada negeri diperincikan melalui formula berdasarkan pendapatan hasil tahunan di peringkat persekutuan dan bukannya dalam jumlah tetap.

"Tempat yang paling sesuai untuk mengetahui berapa jumlah cukai yang dikutip di Sarawak adalah di LHDN, bukannya di Kementerian Kewangan," tambahnya.

"Angka-angka yang dikeluarkan LHDN boleh menjadi panduan kepada kerajaan negeri dalam merumus berapa banyak dana yang boleh kita tuntut untuk Sarawak. Jika semakin kecil jumlah hasil yang kerajaan persekutuan dapat, semakin kurang jumlah yang akan dituntut. Jika besar jumlahnya, maka jumlah yang besar juga yang akan kita tuntut. Begitulah cara yang adil."

Beliau turut berkata Kementerian Kewangan sememangnya bertanggungjawab menggubal dasar kewangan negara, namun Sarawak hanya memerlukan maklumat mengenai jumlah cukai yang dikutip di negeri itu.

“Ini boleh digunakan untuk membuat kira-kira berapa banyak jumlah dana yang perlu dikembalikan kepada Sarawak untuk pembangunan, seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan atau di bawah belanjawan tahunan negara,” katanya.

“Siapa yang menduduki jawatan di Kementerian Kewangan adalah hak prerogatif kerajaan pusat, bukan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kami tuntut kerusi di LHDN kerana ia dipersetujui semua pihak ketika Sarawak bersetuju untuk membentuk persekutuan Malaysia, sebagai salah satu perlindungan untuk negeri ini."