- Iklan -
Berita

Singapura gantung seorang lagi banduan Melayu terlibat saman diskriminasi kaum

Hukuman itu dilaksanakan kurang seminggu selepas Nazeri Lajim digantung sampai mati.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Van jenazah masuk ke Penjara Changi dalam sebuah gambar fail. Kerajaan Singapura mendakwa undang-undang kerasnya termasuk hukuman mati adalah pencegah jenayah berkaitan dadah. Gambar: AFP
Van jenazah masuk ke Penjara Changi dalam sebuah gambar fail. Kerajaan Singapura mendakwa undang-undang kerasnya termasuk hukuman mati adalah pencegah jenayah berkaitan dadah. Gambar: AFP

Singapura dipercayai menjalankan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lagi lelaki bagi kesalahan dadah pagi tadi, di mana ia dilihat sebagai penentangan republik itu terhadap kecaman antarabangsa berikutan prosedur pelaksanaan hukuman matinya dipenuhi kontroversi, MalaysiaNow difahamkan.

Namun, tidak seperti hukuman mati yang lain sebelum ini, butiran banduan yang digantung tersebut masih tidak jelas kerana ahli keluarganya tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenainya. 

Sebaliknya, pihak berkuasa Singapura terus merahsiakan jadual pelaksanaan hukuman mati yang dijalankannya. 

MalaysiaNow menyemak dengan pelbagai sumber dalaman bagi mengesahkan hukuman gantung tersebut.

Ketika dihubungi, seorang jurucakap Penjara Changi turut enggan mendedahkan sebarang maklumat, mengatakan hanya ahli keluarga terdekat banduan itu sahaja yang mempunyai akses terhadap maklumat tersebut.

Kebiasaannya, pihak berkuasa penjara memaklumkan ahli keluarga banduan yang dijadualkan akan digantung melalui surat dan panggilan telefon, di mana mereka diberitahu berkenaan waktu lawatan tambahan dan membuat persiapan untuk pengebumian.

Pada hari-hari terakhir banduan yang akan dihukum mati juga perlu melalui sesi penggambaran aneh di Penjara Changi, di mana mereka diminta untuk senyum di hadapan kamera sambil memakai baju kegemaran.

MalaysiaNow difahamkan hukuman mati terbaru itu merupakan yang keenam tahun ini, di mana banduan bilik akhir tersebut merupakan seorang lelaki Melayu Singapura berusia 49 tahun.

Dia ditahan pada 2015 kerana mengedar ganja dan merupakan salah seorang dari 17 banduan yang memfailkan saman menuduh kerajaan Singapura mengamalkan diskriminasi kaum dalam pendakwaan dan hukuman mati terhadap mereka.

Bagaimanapun, saman tersebut dibatalkan tahun lalu sementara peguam mereka M Ravi kemudiannya dikenakan denda yang berat selepas didakwa menyalahgunakan proses mahkamah oleh peguam negara.

Sejak kebelakangan ini, peguam negara Singapura sering mengheret peguam ke muka pengadilan, mendakwa mereka menyalahgunakan proses mahkamah dalam memfailkan permohonan banduan bilik akhir.

Banduan yang menjalani hukuman hari ini adalah yang kedua dari 17 plaintif saman tersebut selepas hukuman gantung dijalankan terhadap Nazeri Lajim, seorang warga Singapura berusia 64 tahun yang merupakan penagih dadah sejak berusia 14 tahun di mana Nazeri kekal mengatakan dadah yang ditemui bersamanya adalah untuk kegunaan peribadi sehingga pelaksanaan hukumannya.

Sehari sebelum hukuman matinya, Nazeri sendirian di mahkamah tanpa peguam bagi merayu untuk kali terakhir di hadapan hakim supaya diberi lebih banyak masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga, namun hakim berkata keputusan adalah muktamad dan dia akan digantung seperti yang dijadualkan pada esoknya.

Pengkritik berkata terdapat suasana takut dalam kalangan pengamal undang-undang Singapura untuk mewakili banduan bilik akhir, selepas beberapa peguam yang lantang terhadap hukuman tersebut didenda atau kehilangan lesen amalan guaman mereka kerana mengambil kes banduan bilik akhir.

Kerajaan Singapura yang diterajui PAP sejak berpisah dari Malaysia menolak kritikan terhadap hukuman mati yang terus dikekalkan di negara itu, mengatakan ia berkesan dalam usaha mengawal jenayah dadah.

Namun semakin ramai warga Singapura dilihat mula menentang dasar kerajaan itu, bahkan turut mengadakan protes untuk menggesa hukuman mati dimansuhkan.

Pengkritik juga menegaskan hampir semua banduan yang dihukum mati di bawah undang-undang Singapura adalah keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin. 

Pandangan itu turut dikongsi taikun syarikat penerbangan Britain Richard Branson yang sebelum ini merayu supaya Nagaenthiran Dharmalingam yang dihukum gantung walaupun bersatus orang kurang upaya diberikan pengampunan.