- Iklan -
Berita

Jangkitan Covid, kes kematian meningkat, kata KP kesihatan

Kadar kenaikan sebanyak 13.5% kes baru direkodkan pada minggu epidemiologi (ME) ke-29.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas kesihatan mengambil sampel bagi ujian saringan Covid-19 di Bangi. Gambar: Bernama
Seorang petugas kesihatan mengambil sampel bagi ujian saringan Covid-19 di Bangi. Gambar: Bernama

Kes harian baru Covid-19 menunjukkan peningkatan dengan kadar kenaikan sebanyak 13.5% iaitu 29,886 pada minggu epidemiologi (ME) ke-29 dari 17 hingga 23 Julai berbanding 26,335 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, bilangan kes tempatan meningkat sebanyak 13.5% iaitu 26,317 kes kepada 29,858 kes, manakala bilangan kes import menurun sebanyak 26.3% iaitu 38 kes kepada 28 kes.

“Bilangan kes sembuh pada ME ke-29 meningkat sebanyak 18.9% iaitu daripada 19,138 kes kepada 22,757 kes,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bilangan kes kematian pada ME ke-29 menunjukkan peningkatan sebanyak 61.5% iaitu sebanyak 63 kes berbanding 39 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 18.3% iaitu peningkatan sebanyak 12.5% bagi pesakit Kategori 1 dan 2 diikuti peningkatan sebanyak 25% bagi Kategori 3, 4 dan 5.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham memaklumkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk tiada perubahan pada ME ke-29.

Selain itu, beliau berkata trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya) turun 1.7 peratus pada akhir ME ke-29 iaitu 70,140 kes, berbanding 71,326 kes pada minggu sebelumnya.

Katanya sehingga kini, terdapat 15 kluster Covid-19 yang masih aktif dalam negara dan purata nilai RT juga menunjukkan kadar statik iaitu 1.10 bagi tempoh ME ke-29.

Sementara itu, beliau memaklumkan bagi survelan Jangkitan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi Covid-19, kadar positif sampel ILI bagi Covid-19 pada ME ke-29 menurun sebanyak 0.9%.

“Kadar positif sampel ILI bagi Covid-19 menurun kepada 11.4 peratus berbanding 11.5 peratus pada ME ke-28, manakala kadar positif sampel SARI bagi Covid-19 pula kekal 0 peratus,” katanya.