- Iklan -
Berita

KKM keluarkan lebih 30,000 notis kesalahan merokok sejak Januari hingga Jun

Menurut menteri kesihatan, tahun 2022 merupakan tahun paling banyak penguatkuasaan dilaksanakan terhadap peraturan larangan merokok di tempat awam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Rang undang-undang baru berkenaan tembakau dan rokok akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini. Gambar: Bernama
Rang undang-undang baru berkenaan tembakau dan rokok akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini. Gambar: Bernama

Sebanyak 30,311 notis kesalahan merokok di tempat awam dikeluarkan sejak Januari hingga Jun tahun ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata tahun 2022 merupakan tahun paling banyak penguatkuasaan dilaksanakan terhadap peraturan larangan merokok di tempat awam.

“Tahniah kepada penguatkuasa SIP (Sektor Inspektorat dan Perundangan) KKMPutrajaya. Insya’Allah Julai-Disember lagi hebat dan dasyat! #GEG #NoSmoking,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Dalam ciapan sama, Khairy turut berkongsi data penguatkuasaan PPKHT bagi tahun 2018 hingga tahun lepas, yang menyaksikan secara keseluruhan sebanyak 57,268 notis kesalahan merokok di tempat awam dikeluarkan pada 2018; 50,946 (2019); 34,338 (2020) dan 15,163 (2021).

Sementara itu, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Rakan Strategik Gegar Wanita dalam kenyataan hari ini berharap agar semua ahli Parlimen terutama wakil rakyat wanita meluluskan Rang Undang-Undang Tembakau dan Merokok yang dijangka dibentang pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) Roslizawati Md Ali yang mewakili Rakan Strategik Gegar Wanita turut menggesa agensi penguatkuasaan yang lain membantu KKM dalam usaha membendung pasaran rokok tidak sah.

Rakan Strategik Gegar Wanita diterajui MyWatch, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Kebangsaan, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH) dan Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health).

Sebelum ini, Khairy berkata Kabinet meluluskan draf rang udang-undang itu dan beliau dijangka membentangkan rang undang-undang itu pada sidang Parlimen ini.