- Iklan -
Berita

Kaum India makin tersisih, PKR masuk ‘perangkap Umno’?

Penganalisis berkata PKR yang sepatutnya melawan naratif yang dibawa oleh Umno kini kelihatan mengikut arus yang sama.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
PKR dikatakan mengikut rentak Umno dalam isu berkaitan Melayu, raja dan Islam.
PKR dikatakan mengikut rentak Umno dalam isu berkaitan Melayu, raja dan Islam.

Sejak penubuhannya hampir 20 tahun lalu, PKR mendabik dada sebagai parti yang menjadi wadah perjuangan pelbagai kaum sebagai alternatif kepada parti berasaskan kaum yang ditunjangi Umno, MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN).

Namun pada pemilihan majlis pimpinan pusat (MPP) PKR baru-baru ini, hampir tiada wakil daripada bangsa India berjaya mendapat tempat meskipun saiz keahlian masyarakat itu dalam berada dalam jumlah yang signifikan.

Senarai MPP yang dikeluarkan pada kongress lalu menunjukkan kem Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendominasi.

Terdapat 12 Melayu dan tujuh Cina dalam senarai, manakala Hans Isaac menjadi satu-satunya wakil masyarakat India-Serani.

Ia sekaligus menimbulkan persoalan mengenai dakwaan kepelbagaian kaum oleh PKR. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, R Paneir Selvam, seorang penganalisis sebuah badan pemikir isu-isu nasional berkata, PKR yang sepatutnya melawan naratif agama, kaum, raja, atau 3R yang dibawa Umno, kelihatan seperti mengikut arus yang sama.

Katanya, ia jelas apabila presidennya, Anwar Ibrahim menyatakan parti itu gagal mendapat sokongan pengundi luar bandar.

"Kenyataan itu memberi satu isyarat kepada delegasi untuk mengundi seperti mana yang anda lihat komposisi MPP. Ia menjadi refleksi kenyataan Anwar," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, komposisi MPP itu tidak menghairankan sekiranya Anwar membuat kenyataan seperti itu. 

Sokongan rakyat luar bandar yang tidak memberangsangkan terhadap PKR dikenalpasti oleh penganalisis sebagai punca mengapa ia tidak mampu menjadi kerajaan pusat. 

Sebelum ini, PKR kalah teruk dalam dua siri Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor. 

Malahan di Sarawak, parti itu tewas semua kerusi. 

Bagi penganalisis politik Universiti Malaya, Awang Azman Pawi, sifat terlalu ghairah untuk merebut jawatan semasa proses pemilihan membuatkan tumpuan semua pihak terlalu dipusatkan untuk menang.

"PKR lupa kepada idealisme dan semangat parti yang perlu perjuangan secara inklusif dan tidak semata-mata perebutan jawatan dan kuasa. 

“Akibatnya berlakunya peminggiran kepentingan etnik dan wilayah tanpa disedari," katanya.

Selain wakil India, wakil daripada Sabah dan Sarawak juga tidak kelihatan dalam senarai MPP tersebut. 

Menurut Paneir, situasi yang berlaku pada masyarakat India dalam PKR bukan baru berlaku. 

Perwakilan masyarakat India dalam parti itu susut secara beransur-ansur sejak beberapa tahun lepas. 

Sebagai contoh, beberapa kerusi Parlimen yang selalunya diwakili mereka diambil. 

Sebagai contoh, kerusi Kapar yang diberikan kepada penyandang bekas ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani.

Katanya, PKR yang mula bercakap mengenai hak orang Melayu contohnya, mula jatuh ke perangkap Umno. 

Sementara itu, Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs berkata parti itu perlu melantik wakil masyarakat India ke beberapa jawatan penting seperti bendahari, setiausaha agung, atau pengarah komunikasi.

Selain PKR, masyarakat India juga tertumpu kepada parti MIC, DAP, Gerakan, dan beberapa parti kecil lain antara Makkal Sakti, Parti Sosialis Malaysia, dan Parti India Muslim Malaysia.

Menurut Azman, pada peringkat nasional etnik india mewakili 7% populasi negara, namun tidak dapat bersatu kerana etnik India paling ramai mempunyai parti politik yang mengakibatkan mereka tidak dapat bersatu. 

"Masyarakat India perlu bersatu dan mengurangkan politik berpuak sesama mereka sama ada dalam parti pkr mahupun dalam politik nasional," katanya. 

Oh pula berkata golongan pengundi India tidak mempunyai banyak pilihan selain MIC, DAP dan PKR. 

Sementara itu, Paneir berkata, MIC lebih cenderung kepada organisasi tertutup yang tidak ramai golongan terpelajar mahu menyertai parti tersebut, meskipun berjaya memenangi kerusi pada pilihan raya negeri lalu.

"PPP, DAP dan Gerakan merupakan parti pelbagai kaum. DAP agak signifikan berbanding Gerakan dan Parti Rakyat Progresif (PPP).  PPP mempunyai jumlah namun dari segi keyakinan untuk memenangi kerusi, ia agak meragukan.

"Kemudian, kita mempunyai Malaysian Advancement Party yang hampir sama dengan MIC, namun yang penting, mereka mahu bekerja dengan siapa? Mereka tidak boleh bersendirian dan tertumpu kepada isu masyarakat India," katanya.

Jelas Paneir, masyarakat India harus melihat luar daripada parti politik. 

Pertubuhan bukan kerajaan katanya perlu memainkan peranan dalam dalam menyatupadukan suara masyarakat India.