- Iklan -
Berita

Ibu didakwa bunuh anak perempuan berusia 11 tahun di Johor

Sembakavali, 34, berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sembakavali diiring penguat kuasa mahkamah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini. Gambar: Bernama
Sembakavali diiring penguat kuasa mahkamah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini. Gambar: Bernama

Seorang ibu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh anak perempuannya berusia 11 tahun di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng di sini Khamis lepas. 

Tiada pengakuan direkodkan daripada Sembakavali, 34, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan majistret Nurasidah A Rahman kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh N Maha Letchumi, 11, di sebuah rumah bernombor 21 Jalan Tropika 14, Taman Bukit Tropika, Yong Peng kira-kira pukul 4.55 petang 14 Julai lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nur Izzati Rozman manakala Sembakavali tidak diwakili peguam.

Nurasidah menetapkan 13 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati dengan kesan jerut di leher dan terdapat kesan luka di dahi, namun tiada kecederaan di bahagian badan mangsa.