- Iklan -
Berita

Speaker tegaskan strategi kerajaan tangani konflik aset Petronas boleh terdedah jika dibahas di Parlimen

Azhar Azizan Harun membidas dakwaan ahli Parlimen kononnya beliau sengaja mengelak daripada isu tersebut.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat pada 18 Julai 2020. Gambar: Bernama
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat pada 18 Julai 2020. Gambar: Bernama

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengingatkan ahli Parlimen yang bersidang bahawa perbahasan mengenai isu rampasan aset Petronas oleh waris sultan Sulu boleh mendedahkan strategi negara kepada pihak luar dalam usaha menangani koflik tersebut.
 
Beliau berkata demikian bagi membidas dakwaan kononnya beliau “cuba lari” ketika menolak usul tersebut untuk dibahaskan oleh ahli Parlimen. 

Dalam pada itu, Azhar menegaskan beliau boleh dibawa berbincang mengenai apa sahaja isu dan permasalahan sekiranya ahli Parlimen tidak beremosi dan berpolitik.

Pada Isnin, Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah digantung dua hari daripada menghadiri persidangan Parlimen selepas diarah keluar Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker Rashid Hasnon.
 
Perintah itu dikeluarkan Rashid selepas Isnaraissah meminta Azhar menjelaskan tindakan menolak usul dikemukakannya berhubung rampasan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sepang Mohamad Hanipa Maidin menyifatkan alasan Azhar menolak usul Isnaraissah sebagai “subjudis” atau sedang dipertimbangkan oleh mahkamah adalah tidak wajar.

Mengulas kenyataan Hanipa, Azhar berkata sekiranya isu tersebut dibincangkan di dalam Parlimen ianya akan memberikan ruang kepada kritikan terhadap usaha-usaha yang bakal atau sudah dibuat oleh kerajaan.

“Apakah itu tidak akan rosakkan kepentingan kerajaan di dalam prosiding litigasi tersebut?
 
“Mahukah kita tunjukkan strategi kita kepada dunia? Peraturan pertama litigasi adalah elemen kejutan, begitu juga dengan peperangan,” katanya.
 
Azhar berkata langkah tersebut adalah usaha dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menjadi tanggungjawabnya sebagai individu yang mengetuai perbahasan tersebut agar tidak membenarkan perkara itu berlaku.

“Kita sedang pertahankan (negara) dan kita nak dedahkan strategi kita kepada orang lain? 

"Mahukah kita berbuat begitu?”