- Iklan -
Berita

Polis jelaskan peraturan lokap selepas kumpulan hak asasi gesa lakukan pembaharuan

Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia berkata kemudahan tahanan harus mencerminkan keadilan dan ‘garis panduan moral’ masyarakat.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Polis berkata tahanan lokap hanya dibenarkan bertemu dengan ahli keluarga dan peguam mereka sahaja.
Polis berkata tahanan lokap hanya dibenarkan bertemu dengan ahli keluarga dan peguam mereka sahaja.

Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) menggesa polis memberikan akses kaunseling atau guru agama dan lawatan berkala ke rumah ibadat kepada tahanan lokap.

Pengerusi Centhra Azril Mohd Amin berkata akses tersebut akan membantu dalam penjagaan tahanan serta kemudahan tahanan.

“Ia akan memberikan bekalan kebersihan diri kapada tahanan dan keperluan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Centhra adalah susulan lawatan wakil NGO ke lokap polis di Shah Alam, yang disusun pihak polis pada minggu lalu.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, OCPD Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan tahanan hanya dibenarkan menerima lawatan daripada kalangan ahli keluarga dan peguam.

Katanya, tiada cadangan untuk lawatan oleh pakar kaunseling atau pendakwah kerana tiada tempat yang sesuai selain tempoh tahanan yang pendek.

Mengikut statistik polis, 19 kematian dalam tahanan dilaporkan sejak Januari lalu, di mana sembilan daripadanya berlaku dalam lokap. 

Sementara lapan lagi kematian berlaku hospital dan dua tahanan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

Menurut Azril, walaupun keadaan di lokap Shah Alam "lebih baik daripada jangkaan", namun masih ada ruang untuk penambahbaikan berkait kebersihan dalam lokap.

Katanya, banyak paip didapati pecah dan tidak jelas sama ada air minuman tahanan berasal dari paip yang sama untuk kegunaan tandas dan mandi.

Beliau juga berkata tahap kebersihan lokap secara keseluruhannya tidak mematuhi piawaian yang diperlukan baik untuk Muslim atau bukan Islam beribadah.

“Keadaan (dalam lokap) ini tidak memenuhi hak asasi tahanan dan mencerminkan sikap tidak endah terhadap maruah insani mereka," katanya.

Beliau turut menambah keadaan tidak bersih boleh menjejaskan cara layanan polis terhadap tahanan.

"Sekiranya keadaannya tidak berperikemanusiaan atau tidak mengikut piawaian, makan tidak hairan jika layanan tidak berperikemanusiaan atau tidak mengikut piawaian akan berlaku," katanya.

“Ketika setiap kes kematian dalam tahanan masih perlu disiasat bagi menentukan punca dan siapa yang bertanggungjab, kita boleh membuat kesimpulan bahawa keadaan dalam lokap, walaupun lokap seperti di Shah Alam yang boleh dianggap agak baik, masih mempunyai unsur kecuaian dan tidak berperikemanusiaan berhubung kesejahteraan  tahanannya.

"Kemudahan lokap tahanan kita mesti mencerminkan keadilan dan garis panduan moral masyarakat. Tiada seorang pun di Malaysia harus dianiaya atau dihina, walaupun mereka berada di balik tirai besi .”

Iqbal bagaimanapun berkata tahap kebersihan tempat tahanan adalah tanggungjawab individu yang ditahan manakala kebersihan di luar kawasan sel di selenggara oleh anggota bertugas.

Beliau berkata tahanan perlu memaklumkan sebarang penyakit yang dihidapi mereka serta ubatan yang diambil melalui borang yang disediakan dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan ketika dalam tahanan akan dibawa ke klinik.

Beliau turut menambah tahanan beragama Islam perlu menunaikan solat dalam sel tahanan tanpa sebarang ruang khas disediakan.

“Bekalan makan dan minum dibekalkan oleh kontrak makan yang dilulus kan oleh Kementerian Dalam Negeri.”