- Iklan -
Berita

Inisiatif komuniti Shopee kumpul RM2.9 juta bantu golongan kurang bernasib baik

Sumbangan kepada 40 NGO kekalkan pembangunan komuniti jangka panjang untuk B40.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Inisiatif komuniti #ShopeeGivesBack yang dimulakan platform Shopee mengumpul RM2.9 juta secara kolektif dalam tempoh dua tahun, melalui usaha mengumpul dana bersama lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) demi membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik dalam masa yang memerlukan.

Inisiatif yang dilancarkan pada 1 Mei 2020 ketika kemuncak pandemik Covid-19, menggunakan teknologi untuk membantu golongan yang terabai di Malaysia dan merangkumi empat bahagian: pembangunan masyarakat kurang bernasib baik, perkhidmatan kanak-kanak dan keluarga, badan amal kesihatan dan badan amal alam sekitar.

Platform ini menyediakan sebuah saluran dalam talian kepada rakyat Malaysia bagi menyokong sesebuah usaha dengan cara yang amat mudah. Shopee memastikan NGO-NGO ini mempunyai rekod yang boleh dipercayai dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

RM2.1 juta dikumpul melalui saluran derma pada platform yang sentiasa boleh diakses, sambil para pengguna membeli-belah setiap hari dan menderma melalui laman mikro khusus #ShopeeGivesBack.

56% daripada sumbangan yang dikumpul melalui saluran ini disalurkan kepada NGO yang berkaitan dengan B40 serta bantuan komuniti seperti Pertubuhan Kasih Neelofa, Islamic Relief Malaysia dan Pusat Jagaan Nurul Jannah.

20% daripada dana yang dikumpul disalurkan kepada NGO yang menyediakan kit perubatan dan klinik bergerak semasa banjir seperti Mercy Malaysia.

Dalam pada itu, 14% daripada sumbangan tersebut membantu rakan kongsi seperti Unicef Malaysia demi memenuhi keperluan kritikal yang melibatkan kanak-kanak yang terpinggir serta keluarga mereka yang terkesan dengan Covid-19.

Sementara 10% lagi disalurkan kepada usaha berkaitan alam sekitar seperti Zoo Negara, di mana dana yang dikumpul membantu dalam memenuhi keperluan tahunan seperti makanan, kebajikan dan penjagaan veterinar haiwan-haiwan.

RM800,000 telah dikumpul semasa kempen-kempen e-dagang khas yang membantu dalam tujuan yang bersasar di mana jualan tiket Zoo Negara contohnya mengumpulkan lebih RM400,000 bagi kebajikan haiwan manakala lebih RM200,000 dalam dana bantuan banjir membantu 1,300 keluarga membina semula kehidupan mereka selepas banjir melanda baru-baru ini di Kedah, Kelantan, Selangor, Pahang, Terengganu, Johor, dan Negeri Sembilan.

Ketua Pemasaran Jenama Shopee Malaysia Huiyan Pan berkata berdasarkan anggaran NGO pembangunan komuniti utama Shopee, pihaknya berjaya menyediakan makanan dan bekalan penting kepada lebih 3,000 keluarga yang sangat memerlukan bantuan semasa pandemik.

"Shopee berasa rendah hati kerana dapat memperoleh sokongan rakan kongsi NGO kami serta menggalakkan para pembeli di pasaran kami untuk menyumbang ke arah kemampanan jangka panjang komuniti-komuniti ini.”

Pertubuhan Kasih Neelofa, Islamic Relief Malaysia, dan Pusat Jagaan Nurul Jannah merupakan rakan-rakan NGO jangka panjang #ShopeeGivesBack.

Ketiga-tiga NGO ini telah mengumpul hampir RM400,000 dalam bentuk bantuan makanan, keperluan asas serta barangan isi rumah untuk keluarga-keluarga dan rumah-rumah B40 di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak.

“Pertubuhan Kasih Neelofa berasa terharu dengan kemuliaan rakyat Malaysia dalam membantu masyarakat kurang bernasib baik yang terjejas oleh pelbagai keadaan yang tidak diingini. Program #ShopeeGivesBack telah menyediakan platform bagi para penderma yang murah hati untuk memberi sokongan mereka, dan kami berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada kami demi memberi kembali kepada yang memerlukan,” kata Pengasas Pertubuhan Kasih Neelofa, Noor Neelofa Mohd Noor.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.