- Iklan -
Berita

Laporan dedah Apandi wakili Jho Low dalam rundingan dengan kerajaan

The Edge melaporkan tawaran RM1.5 bilion ahli perniagaan dalam buruan kepada kerajaan ditolak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama

Laman sesawang berita kewangan The Edge mendakwa bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali mewakili ahli perniagaan buruan Low Taek Jho dalam rundingannya  dengan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan berkait skandal 1MDB.

The Edge bahkan mendakwa Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia, namun tawaran itu ditolak.

Sebelum ini, Apandi enggan mengesahkan rundingan tersebut berlaku, selain tidak mahu mengulas berhubung peranannya dalam rundingan itu.

"Maaf. Maklumat itu adalah sulit," kata Apandi kepada MalaysiaNow.

MalaysiaNow juga turut menghubungi Apandi sekali lagi berhubung perkara ini namun masih belum mendapat maklum balas daripada beliau.

Laporan The Edge mengenai peranan Apandi yang mewakili Low - lelaki yang dianggap sebagai dalang utama dalam skandal 1MDB, disiarkan dua hari selepas MalaysiaNow melaporkan ahli perniagaan itu gagal dalam usaha rundingan dengan Putrajaya, bagi  membenarkan dia ke AS untuk menyelesaikan kes tersebut di sana.

“Beliau buat permohonan tetapi gagal memenuhi syarat yang kami tetapkan, yang turut menetapkan supaya wang 1MDB dipulangkan,” kata sumber kerajaan yang rapat dengan rundingan melibatkan peguam Low dan Apandi kepada MalaysiaNow.

Keberadaannya sebagai orang dalam buruan tidak pernah dipastikan, namun waran tangkap dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Badan anti rasuah itu turut memaklumkan kepada Interpol sebagai amaran terhadap statusnya dan dua lagi individu.

Apandi berkhidmat sebagai peguam negara dari 2015 hingga 2018 menerima kecaman selepas membersihkan Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu berhubung salah laku dalam skandal 1MDB.

Namun, pada Julai 2020, Najib disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, berhubung pertuduhan mengenai penyelewengan dana itu di mana ia mencetuskan siasatan di beberapa negara.