- Iklan -
Berita

Rumah Bonda dibuka semula, tidak boleh diguna sebagai pusat jagaan

Majistret Nur Syafiqah Noorinda membenarkan permohonan Siti Bainun untuk menanggalkan lak yang dibuat jabatan kebajikan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pegawai jabatan kebajikan meletakkan lak di Rumah Bonda Kuala Lumpur pada Julai 2021. Gambar: Bernama
Seorang pegawai jabatan kebajikan meletakkan lak di Rumah Bonda Kuala Lumpur pada Julai 2021. Gambar: Bernama

Premis Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur, yang lebih dikenali sebagai Rumah Bonda dibenarkan untuk beroperasi semula selepas namun bukan sebagai pusat jagaan.

Majistret Nur Syafiqah Noorinda mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Rumah Bonda melalui Siti Bainun selaku plaintif yang memohon untuk menanggalkan lak yang telah dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) pada 12 Julai 2021.

Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Siti Bainun ketika dihubungi berkata perintah menanggalkan lak diberikan oleh mahkamah di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 tidak dibantah oleh pihak JKM dan Rumah Bonda hendaklah berakujanji bahawa premis itu tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan.

"Rumah Bonda sudah dikompaun berjumlah RM5,000 dan ia telah dibayar pada 25 April lepas," kata peguam itu.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam persekutuan Fatin Shafira Ab Patah yang mewakili pengarah JKM WPKL.

Pada 7 Jun lepas, Rumah Bonda memfailkan saman terhadap JKM WPKL selaku defendan bagi memohon perintah menanggalkan lak yang telah dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak, dan memohon perintah agar plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain selain daripada pusat jagaan, selain memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Siti Bainun berkata beliau telah menerima Notis Lak daripada JKM WPKL, yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

Dakwa Siti Bainun, tindakan lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar, memandangkan JKM WPKL telah mengetahui bahawa rumah perlindungan itu sedang dalam proses permohonan pendaftaran.

“Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022,” katanya menerusi afidavit sokongan.

Menurut Siti Bainun, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh pegawai penguatkuasa JKM WPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya.