- Iklan -
Berita

Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah abai, aniaya Bella

Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Siti Bainun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali. Gambar: Bernama
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali. Gambar: Bernama

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hari ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Siti Bainun, 31, di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama, dan penjara 12 tahun bagi pertuduhan kedua.

Izralizam memerintahkan hukuman itu berjalan mulai hari ini.

Hakim turut memerintahkan Siti Bainun melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam selepas selesai hukuman penjara dan menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun.

Bagaimanapun, hakim membenarkan prosiding dihentikan sementara untuk pihak-pihak mengemukakan sama ada membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias manakala Siti Bainun diwakili peguam Mohammad Farhan Maaruf.