- Iklan -
Berita

MB Kedah mohon maaf kepada mangsa banjir Baling

Sanusi Md Nor berkata permohonan maaf beliau dibuat atas dasar kemanusiaan dan rasa tanggungjawab.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor ketika memohon maaf kepada mangsa banjir pada sidang media semalam. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor ketika memohon maaf kepada mangsa banjir pada sidang media semalam. Gambar: Bernama

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka memohon maaf kepada semua penduduk yang terjejas akibat tragedi banjir dan kepala air yang berlaku di Kupang, di Baling 4 Julai lepas.

Beliau berkata permohonan maaf itu dibuat atas sifat kemanusiaan serta rasa tanggungjawab yang dipikulnya sebagai ketua kerajaan berhubung kejadian yang turut mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang ibu yang hamil empat bulan.

Katanya, permohonan maaf itu juga adalah mewakili kerajaan negeri semasa serta pentadbiran sebelum ini sekiranya wujud kesilapan secara tidak langsung yang dikatakan menjadi sebab kepada tragedi yang berlaku pada minggu lepas.

"Sebagai manusia, atas sifat kemanusiaan, bagi pihak kerajaan negeri sekarang ini, saya mohon maaf kepada semua penduduk yang terjejas.

"Tiada siapa berniat untuk mendatangkan bencana kepada sesiapapun tetapi kesannya di luar jangkaan, takkan nak berkeras sampai bila-bila, orang sudah hadapi bencana walaupun pada pandangan kita, kita dah ambil keputusan yang terbaik," katanya dalam sidang media semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Sewa Rumah kepada 17 mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat bencana banjir dan kepala air di Pejabat Daerah Baling.

Muhammad Sanusi berkata, permohonan maaf itu bukanlah bermaksud beliau mengakui keseluruhan kesilapan berpunca daripada kerajaan negeri semasa, sebaliknya ia dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap rakyat negeri ini.

"Tidak bermaksud saya mengakui kesilapan secara keseluruhannya, tidak ada siapa yang minta bencana ini terjadi, termasuklah tragedi yang berlaku di Gunung Jerai, Yan tahun lalu...bagi pihak kerajaan negeri, kita minta maaf kerana sebagai kerajaan kita patut melindungi rakyat.

Kita tak dapat jangka perkara itu akan berlaku...saya tidak fikir siapa yang salah, cuma sebagai manusia setinggi manapun kedudukan dan pangkat kita, kita sangat kerdil sebagai makhluk dan sangat terbatas, atas kelemahan-kelemahan sebagai manusia, kita minta maaf tak dapat melindungi rakyat sepenuhnya," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu kesemua 17 keluarga yang rumah mereka musnah dalam tragedi berkenaan, masing-masing menerima wang ihsan tunai RM3,000 sebagai bantuan sewa rumah dan utiliti untuk tempoh enam bulan.